PETALING JAYA: Sabah memerlukan pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan dengan pelaksanaannya pada setiap dua atau tiga tahun sekali.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Darell Leiking berkata, pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu diyakini tidak akan mencetus masalah ketegangan kaum seperti didakwa sesetengah pihak menentang pelaksanaannya.
Bekas Ahli Parlimen Penampang itu berkata, pilihan raya PBT sebaliknya dapat menambah baik cara pemilihan ahli-ahli majlis ketika ini yang dilihat kurang efektif, selain membolehkan kerajaan tempatan menguruskan hal ehwal kewangannya.
“Saya tidak lihat ada masalah untuk pilihan raya PBT dilaksana di Sabah. Isu perkauman hanya digunakan untuk menggagalkan matlamatnya. Saya faham mengapa ramai yang tolak pilihan raya PBT di Semenanjung, kerana banyak kawasan didominasi satu kaum dan dipecahkan melalui perbezaan kaum dan agama.
“Tetapi, di Sabah kita tidak seperti itu. Kita perlukannya mengambil kira aspek modernisasi dan demokrasi. Kita wajar ada pimpinan pihak berkuasa tempatan baharu.
“Setiap majlis daerah sepatutnya ada bidang kuasa kewangan dalam semua aspek seperti kutipan cukai pintu. Jika mahu ia dilaksana dengan lebih bertanggungjawab, maka kita perlu adakan pilihan raya tempatan setiap dua atau tiga tahun sekali.
“Jika dilantik atas tujuan politik, ia kurang efektif dan pilihan raya langkah yang sesuai. Tetapi, kita laksanakan dalam skala yang kecil sahaja, tidak seperti peringkat Persekutuan dan Negeri. Kad laporan pastinya menjadi ukuran tahap prestasi mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog itu berkata, untuk merealisasi pilihan raya PBT, paling penting harus ada undang-undang terbaik mengenal pasti bagaimana tadbir urus kadar kutipan cukai oleh PBT kerana peranan setiap PBT di sesebuah daerah berbeza.
“Misalnya, PBT di daerah Penampang dan Kota Marudu berbeza sebab keperluan berlainan. Ahli-ahli politik tidak sepatutnya terlibat dalam pilihan raya ini, mereka yang mentadbir urus daerah itu sahaja boleh bertanding,” katanya.
Pada 17 Disember lalu, Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai semasa konvensyen DAP Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan melaksanakan pilihan raya PBT.
ISU
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa sebelum ini dilaporkan berkata, banyak perkara asas perlu diselesai terlebih dahulu sebelum isu pelaksanaan pilihan raya PBT dibincang.
Tegasnya, pelaksanaan pilihan raya PBT tertakluk di bawah kuasa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan beliau akan bertemu Menterinya, Nga Kor Ming bagi membincangkan cadangan tersebut secara menyeluruh.
Pada Februari lalu, Kor Ming dilaporkan berkata, pilihan raya PBT bukan keutamaan ketika ini kerana kerajaan harus memberi tumpuan kepada pembangunan dan pemerkasaan kerajaan tempatan.
Kali terakhir Malaysia mengadakan pilihan raya PBT pada 1963 dan kemudian digantung pada tahun berikutnya buat sementara.
Bagaimanapun, penggantungan itu dikekal pada 1976 apabila Parlimen Malaysia meluluskan Akta Kerajaan Tempatan, yang memansuhkan pilihan raya PBT dan hanya memperuntukkan pelantikan ahli majlis.
Gabungan politik Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP, PKR dan Pas sebelum ini dilaporkan berjanji untuk mengembalikan semula pilihan raya PBT semasa pilihan raya umum 2008 dan 2013.
Pun begitu, manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Pakatan Harapan tidak berjanji untuk mengembalikan pilihan raya PBT tetapi menyatakan mereka akan ‘mengukuhkan demokrasi tempatan’ dan menjadikan majlis tempatan lebih bertanggungjawab kepada rakyat setempat.
Bagaimanapun, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak permintaan untuk mengembalikan pilihan raya PBT dengan alasan pilihan raya sedemikian mungkin menimbulkan perbalahan kaum. – UTUSAN










