Sumber air mentah berbau diesel di LRA Sungai Linggi, kejadian kedua dalam tempoh sebulan - Utusan Malaysia

Sumber air mentah berbau diesel di LRA Sungai Linggi, kejadian kedua dalam tempoh sebulan

PENGELUARAN air di LRA Sungai Linggi terpaksa dihentikan selepas terdapat masalah air berbau minyak yang dikesan sejak semalam mengakibatkan beberapa kawasan di Port Dickson, Rembau dan Seremban mengalami masalah gangguan bekalan air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Beberapa kawasan di daerah Port Dickson, Seremban dan Rembau mengalami masalah gangguan dan ketiadaan bekalan air berikutan terdapat masalah sumber air mentah berbau minyak diesel di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi.

Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) menerusi kenyataan memaklumkan, pengeluaran air dari loji rawatan tersebut terpaksa dihentikan untuk menepati piawaian kualiti air minum kebangsaan.

Tambahnya, setakat pukul 10 pagi tadi, Loji Rawatan Air Sungai Linggi masih belum beroperasi kerana air mentah masih lagi berbau dengan bacaan 2 ton.

Antara kawasan yang terjejas di daerah Port Dickson termasuklah sebahagian kawasan Batu 6 Jalan Pantai, Batu 4 Jalan Pantai, Jalan Sua Betong, Air Kuning dan sekitar kawasan pekan Port Dickson.

Turut terlibat sekitar kawasan Lukut, Simpang Bukit Palong, Chuah, Bukit Pelandok sehingga Tanah Merah Site A.

Di Seremban pula kawasan yang terjejas melibatkan kawasan Rantau, Jalan Sungai Gadut sehingga Taman Pinggiran Senawang manakala di Rembau melibatkan seluruh kawasan Kampung Kundur, Kampung Pedas Hilir, Taman Pedas Perdana, Taman Pinggiran Pedas, Taman Pedas Indah, Ulu Kanchong dan kawasan sekitar.

“Bagi mengurangkan gangguan kepada para pengguna, Sains telah menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki dan menempatkan tangki-tangki statik di kawasan terlibat,” kata kenyataan berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa memberitahu, pihaknya menerima notis daripada SAINS mengenai gangguan bekalan air itu pada pukul 10 malam tadi.

“Saya dimaklumkan terdapat bau minyak diesel di LRA Sungai Linggi malam tadi, dan pagi tadi saya menghubungi Sains dan diberitahu masih terdapat bau berkenaan dan tidak boleh jangka bilakah gangguan bekalan air dapat dipulihkan,” katanya yang memberitahu ia merupakan kejadian kedua dalam tempoh sebulan berlaku di LRA tersebut.

Pada 7 November lalu, media melaporkan operasi LRA Sungai Linggi di sini terpaksa dihentikan buat sementara waktu selepas terdapat aduan air Sungai Linggi di muka sauk LRA tersebut berbau diesel.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN