Suami isteri cemas, anak hilang di Bazar Karat - Utusan Malaysia

Suami isteri cemas, anak hilang di Bazar Karat

WANI (dua kanan) bersyukur apabila anaknya yang hilang selama kira-kira dua jam di Bazar Karat, Johor Bahru ditemukan selamat oleh pegawai polis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri cemas apabila anak perempuan mereka yang baharu berusia enam tahun hilang ketika mengunjungi Bazar Karat, di sini malam semalam.

Ibu kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Wani berkata, dia hanya menyedari ketiadaan Nur Zara Mikayla Muhammad Hilmi yang merupakan anak keduanya pada pukul 12.17 malam selepas dimaklumkan suaminya.

Semasa kejadian, dia tertidur di dalam kenderaan bersama anak bongsunya, manakala Nur Zara Mikayla berjalan bersama bapanya di bazar tersebut.

Pasangan suami isteri itu kemudian mencari kanak-kanak berkenaan dibantu rakan-rakan sehingga pukul 1.30 pagi di merata-rata tempat, termasuk di kawasan longkang yang gelap.

“Cari bahagian belakang gelap-gelap dekat longkang besar ada orang mabuk. Takutnya jika angah Mikayla sampai sana. Tak jumpa! Rasa bersalah sebab tertidur sekali dalam kereta. Macam-macam fikir, terus terdetik, anak tu pinjaman Allah SWT. Apa-apa jadi kena reda,” tulisnya dalam laman sosial Facebook dan pautan tersebut turut dikongsikan dalam Facebook Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Wani dan suami terus mencari anaknya dengan bertanya beberapa peniaga sebelum seorang daripadanya memaklumkan Nur Zara Mikayla sudah dijumpai dan dibawa ke Balai Polis Sentral.

Dia sangat bersyukur apabila mendapati anaknya sedang tidur di balai polis tersebut dan turut mengucapkan terima kasih serta menghantar makanan kepada pihak polis sebagai tanda penghargaan atas jasa mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memberitahu, suasana di Balai Polis Sentral sedikit beremosi apabila pasangan tersebut bertemu semula dengan anak mereka itu.

“Kami saksikan satu kisah dari Bazar Karat yang menyentuh hati. Adik Nur Zara Mikayla yang hilang kini selamat berada di pangkuan keluarganya setelah ditemukan Inspektor Amir Haikal Kasim bersama anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Johor Bahru Selatan yang menjalankan Ops Motosikal di sekitar Jalan Ibrahim-Wong Ah Fook,” katanya.

Nur Zara Mikayla ketika ditemukan Amir berada dalam keadaan takut dan menangis selepas terpisah daripada ibu bapanya semasa melintas jalan sebelum dibawa ke balai polis tersebut. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya