PETALING JAYA: Sokongan ahli parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) penting demi keutuhan majoriti dua pertiga diperoleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus mengekalkan hayat Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal.
Dalam pada itu, pemerhati politik juga melihat kedudukan GPS dalam Kerajaan Perpaduan penting bagi membolehkan rakyat Sarawak mendapat manfaat daripada dasar Malaysia Madani yang diperkenalkan Anwar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, GPS adalah sebuah parti gabungan yang sangat pragmatik dan memahami senario politik peringkat nasional.
Menurut beliau, walaupun pengaruhnya mungkin tidak seperti yang dimiliki oleh Barisan Nasional (BN) namun sokongan GPS yang mewakili rakyat Borneo penting untuk Kerajaan Persekutuan.
“GPS ini lebih pragmatik dan mereka faham keadaan senario politik nasional. Mereka akan menyokong kerajaan yang dapat memberi manfaat lebih kepada Sarawak.
SOKONGAN
“Jadi saya melihat, sukar untuk GPS menarik sokongan (keluar dari Kerajaan Perpaduan) kerana ia tidak memberi manfaat kepada mereka kerana Kerajaan Perpaduan akan kekal walaupun majoritinya kurang daripada dua pertiga.
“Pada masa sama, jika GPS menarik sokongan kepada kerajaan, mereka akan berada di pihak pembangkang yang akan menyukarkan mereka mendapat manfaat daripada Pusat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, Anwar dilaporkan yakin cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan menerusi usaha menukar sokongan atau ‘tebuk atap’ tidak akan berlaku berikutan sokongan padu yang diberikan Sarawak.
Katanya, jaminan itu diberikan oleh Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu pertemuan dengan beliau baru-baru ini.
Pada Jumaat lalu, Anwar menerima kunjungan Abang Johari yang menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Untuk rekod, GPS menyumbang sebanyak 23 kerusi Parlimen untuk membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, sekiranya GPS menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan, Anwar tetap akan kekal sebagai Perdana Menteri sekiranya tiada rentetan lain.
Beliau berkata, berdasarkan pandangannya rentetan penarikan sokongan daripada gabungan lain mungkin tidak berlaku.
“Berbeza dengan BN, jika gabungan itu yang menarik sokongan, Anwar juga masih mempunyai majoriti tetapi yang ditakutnya jika berlaku rentetan penarikan sokongan daripada gabungan lain,” katanya.- UTUSAN











