KEMAMAN: Pas berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu dengan majoriti besar, 37,220 undi.
Calon Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dengan memperoleh 64,998 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sekadar mendapat 27,778 undi.
Majoriti yang diperoleh Menteri Besar itu lebih tinggi berbanding majoriti yang diperoleh penyandang kerusi itu 27,179 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15, tahun lalu.
Keputusan PRK itu diumumkan secara rasmi Pengurus Bahagian PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman di sini pada pukul 10.10 malam.
Sementara itu, kertas undi ditolak sebanyak 428 dan kertas undi tidak dikembalikan pula 35.
Jumlah peratus pengundi pada PRK ini ialah 65.76 peratus iaitu membabitkan 92, 776 pemilihan.
Keseluruhan pengundi berdaftar seramai 141,790 orang. – UTUSAN










