PETALING JAYA: Rafizi Ramli cabar pempengaruh propembangkang di media sosial yang menggunakan nama YB Viral untuk ‘berdebat’ dalam Sesi Podcast ‘Yang Bakar Menteri’.
Menurut Menteri Ekonomi itu, budaya menyebarkan pembodohan yang kini diperturunkan kepada rakyat biasa yang meletakkan diri mereka sebagai pempengaruh merupakan satu ancaman terbesar kepada semua usaha yang dilakukan negara ini.
Justeru, katanya, budaya itu berbahaya dengan ramai pempengaruh merasakan mereka boleh berselindung menggunakan nama samaran seperti individu yang menggunakan nama ‘YB Viral’.
“Saya berpandangan budaya ini perlu ditangani. Cara menanganinya adalah supaya pimpinan politik seperti saya berdepan sendiri dengan rakyat dalam satu sesi untuk menjawab dan bertanya.
“Rakyat tanya saya jawab, saya tanya kepada rakyat (untuk berkongsi pemahaman), maka wajarlah rakyat jawab. Tetapi dengan syarat janganlah berselindung di belakang identiti digital yang disalahguna untuk mencipta pembohongan.
“Apabila berdepan dengan identiti sendiri, bersedialah untuk disaman dan diambil tindakan undang-undang jika ada fitnah yang dibuat,” katanya dalam hantaran di laman X.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, pejabat beliau sudah menghantar surat terbuka kepada pengguna akaun Yb Viral untuk memberi peluangberkongsi pandangan dan membentangkan fakta kepada rakyat.
“Jika dia berani tampil dengan mengisi borang maklumat peribadinya dan mengembalikan borang ke pejabat saya, Insya-Allah saya bagi ruang seluasnya untuk dia bakar saya dan buktikan saya menteri paling bodoh, seperti yang dijerit-jeritnya selama ini,” katanya. – UTUSAN