KANGAR: Pas sudah sedia menggantikan UMNO sebagai parti utama yang mendapat kepercayaan orang Melayu Islam dan sudah bersedia memimpin negara sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Selepas puluhan tahun orang Melayu menjadikan UMNO tempat bergantung, namun situasi semasa menyaksikan parti itu semakin hilang sokongan rakyat.
Kata beliau, keputusan PRU15, Pilihan Raya Negeri (PRN) dan terbaharu Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman baru-baru ini memberikan gambaran jelas tentang perkara tersebut.
MEMERINTAH
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas sudah sedia daripada awal untuk memerintah negara namun dalam PRU15 nasib tidak menyebelahi parti itu dan gabungan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, Pas yang sudah lama berjuang dengan kesungguhan dan pengorbanan akhirnya semakin mendapat tempat di hati orang Melayu Islam yang menjadikan parti itu tempat bergantung menggantikan UMNO.
“Kita juga mempunyai pemimpin berpontensi memimpin negara malah Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri mengakui sebelum ini Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Menteri Besar Terengganu) antara calon sesuai diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri ke-11.
“Saya juga yakin Ahmad Samsuri yang menang besar dalam PRK Parlimen Kemaman baru-baru ini juga sedia memimpin negara (sebagai Perdana Menteri),” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, UMNO mengakui perjalanan mereka untuk kembali menawan semula kepercayaan orang Melayu terhadap parti itu masih jauh.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, keputusan Pilihan PRK Kemaman baru-baru ini memberikan isyarat yang jelas tentang perkara tersebut.
Kata Mohamad Hasan, jelas, tugas mengembalikan kepercayaan bangsa Melayu ke pangkuan UMNO adalah tugas sukar tetapi bukan mustahil.
GELOMBANG
Sebagai rekod, kekuatan Pas dalam PN yang mencetuskan gelombang hijau dalam PRU15 tidak boleh dinafikan lagi apabila kini mempunyai seramai 43 ahli Parlimen.
Malah, dalam PRN di enam negeri sebelum ini, Pas juga menunjukkan kecemerlangan apabila memenangi 105 daripada 126 kerusi yang ditandingi iaitu mencapai tahap kemenangan 83 peratus selain mempunyai kekuatan akar umbi dan sokongan daripada orang Melayu yang cukup kuat khususnya dalam kalangan anak muda.
Hashim berkata, UMNO kini diibarat seperti kanser tahap lima yang boleh berubat namun sudah sukar untuk dipulihkan.
Katanya, tukar pemimpin bagaimanapun sekali pun UMNO sudah sukar dipulihkan dan jika mereka masih meneruskan keadaan seperti sekarang ia akan menyebabkan ajal parti itu sudah semakin hampir.
“Salah satu cara ialah UMNO kembali kepada penyatuan ummah. Itulah satu-satu cara untuk selamatkan UMNO dan kita sentiasa terbuka menerima parti itu,” katanya. – UTUSAN










