Palsu dokumen kelahiran, suri rumah didenda RM6,000 - Utusan Malaysia

Palsu dokumen kelahiran, suri rumah didenda RM6,000

K. KALAIVANI hadir ke Mahkamah Majistret Bahau, Jempol hari ini atas tuduhan mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu bagi permohonan kad pengenalan seorang kanak-kanak, tahun lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang suri rumah didenda sebanyak RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu bagi permohonan kad pengenalan seorang kanak-kanak, tahun lalu.

Tertuduh, K. Kalaivani, 42, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret, Norshazwani Ishak.

Majistret turut menetapkan penjara 10 hari sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, Kalaivani telah membuat permohonan kad pengenalan kali pertama ke atas kanak-kanak lelaki dengan mengemukakan sijil lahir yang mengandungi maklumat palsu ibu kandung yang sah.

Kesalahan itu dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Jempol pada 9 Mac lalu.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa JPN, Abdul Hilmi Muzhafar Hamsan manakala tertuduh diwakili peguam, M. Yogamani.

Yogamani kemudiannya memohon hukuman ringan memandangkan tertuduh mengaku bersalah serta bertanggungjawab ke atas kesalahannya.

Menurutnya, tertuduh tidak arif undang-undang tentang pengangkatan anak dan atas sifat kasih sayang serta belas kasihan kepada kanak-kanak berkenaan maklumat berkenaan diberikan.

Sementara itu, Abdul Hilmi dalam pendakwaannya memohon hukuman setimpal memandangkan taraf warganegara merupakan anugerah tertinggi yang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada individu yang berhak.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya