Nahas dua remaja: Pemandu Axia didakwa buang tin arak - Utusan Malaysia

Nahas dua remaja: Pemandu Axia didakwa buang tin arak

RAKAN sekolah Allahyarham Erwan Idris antara yang mengusung jenazah dari Masjid An Nur untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Krubong semalam. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemandu kereta Perodua Axia yang menyebabkan kematian dua pelajar tingkatan empat di Jalan Krubong Permai di sini, Ahad lalu didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol.

Kemalangan membabitkan tiga kenderaan pada pukul 9.10 malam itu menyebabkan pembonceng motosikal, Erwan Idris, 16, maut di tempat kejadian manakala penunggang, Putra Norsyaqir Putrawirawan, 16, meninggal dunia di Hospital Melaka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, abang ipar Erwan, Mohd. Faizal Ab. Ghani, 38, berkata, sewaktu tiba di tempat kejadian pada pukul 9.30 malam, dia mendapati pemandu kereta yang melanggar adik iparnya mabuk dan bukannya terlelap seperti didakwa.

“Saya ada bukti rakaman papan pemuka kenderaan, foto dan dua saksi kejadian melihat di dalam kereta Perodua Axia ada beberapa arak. Pemandu itu telah membuang tin minuman keras itu, namun beberapa penduduk dan orang ramai ternampak perbuatan itu lalu mengambil semula tin-tin tersebut.

“Selain itu, dua saksi di tempat kejadian telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah mengenai pe­nemuan minuman keras dalam kereta pemandu terbabit,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Krubong.

Siasatan awal polis mendapati, Perodua Axia dipandu pekerja pasar borong berusia 25 tahun itu dalam perjalanan dari arah lampu isyarat One Krubong menghala ke Taman Krubong Permai.

Ketua Polis Daerah Melaka Te­ngah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kenderaan itu didapati memasuki laluan bertentangan akibat terlelap dan melanggar motosikal dinaiki dua mangsa sehingga mereka terperosok di bawah kereta.

Menurut Mohd. Faizal, ahli keluarganya sangat berharap pemandu terbabit dikenakan hukuman setimpal kerana kecuaiannya yang meragut dua nyawa.

“Kalau pemandu itu tidak mabuk, tidak mungkin berlaku kemalangan hingga menyebabkan kematian adik ipar saya dan rakannya,” katanya.

Jenazah Erwan yang tiba dari Hospital Melaka disembah­yangkan di Masjid An Nur Kampung Krubong sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Krubong, kira-kira pukul 5.10 petang kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×