MyDigital ID mudahkan urusan, dijamin selamat - Utusan Malaysia

MyDigital ID mudahkan urusan, dijamin selamat

SAAT Shukri Embong menunjukkan penggunaan MyDigital ID di Kementerian Komunikasi dan Digital, Putrajaya. - UTUSAN/MAISARAH SHEIKH RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penggunaan MyDigital ID akan berfungsi sepenuhnya mulai 1 Julai tahun depan bagi memudahkan orang ramai berurusan di semua perkhidmatan kerajaan selain platform itu lebih selamat kerana tidak menyimpan maklumat pengguna.

Menerusi sistem pengenalan diri digital tunggal tersebut, urusan orang ramai di agensi-agensi kerajaan lebih cepat kerana tidak perlu mengisi informasi diri berulang.

MyDigital ID diberi jaminan tidak akan mengalami pelanggaran data kerana maklumat digunakan hanya untuk tujuan pengesahan yang diintegrasikan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi pengguna warganegara dan Jabatan Imigresen (bukan warganegara) dan sistem pangkalan data utama (PADU) di bawah Kementerian Ekonomi bagi maklumat penerima bantuan kerajaan.

Ketua Kluster Sektor Teroka Teknologi MIMOS Berhad, Dr. Saat Shukri Embong berkata, MyDigital ID langsung tidak merekod data pengguna seperti biometrik melalui cap jari, iris/mata atau pengecaman wajah, tidak mengumpul data dan tidak memantau pengguna dalam talian.

“Ia sekali gus tidak akan mendedahkan data peribadi secara terbuka dan meluas kerana ia semata-mata menghapuskan pelbagai jenis kaedah pengenalan diri dalam talian,” katanya dalam sesi taklimat media di sini semalam.

IDENTITI

Beliau berkata, menjelang penggunaan MyDigital ID orang ramai tidak lagi dikehendaki menggunakan pelbagai identiti bagi pengesahan maklumat diri dengan kemudahan log masuk tunggal untuk pelbagai aplikasi.

Menurut beliau, pada masa ini terdapat lebih 1,700 perkhidmatan kerajaan yang menggunakan pelbagai log masuk (username dan password) tersendiri sekali gus menyukarkan orang ramai untuk menyimpan rekod tersebut setiap kali mahu melayari perkhidmatan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, fungsi MyDigital ID tidak menggantikan penggunaan Mykad secara fizikal.

Menurut beliau, MyDigital ID akan menggunakan pangkalan data kerajaan sebagai rujukan dan pengesahan tetapi platform itu tidak menyimpan sebarang data peribadi pengguna untuk tujuan transaksi.

“Langkah ini mampu mengurangkan risiko penipuan identiti dalam talian kerana ia disahkan selamat, pantas dan mudah bagi tujuan transaksi dalam talian.

“Platform itu tidak akan mengalami pelanggaran data kerana maklumat yang digunakan hanya untuk tujuan verifikasi yang diintegrasikan dengan JPN) bagi pengguna warganegara, Jabatan Imigresen (bukan warganegara) dan PADU di bawah Kementerian Ekonomi bagi maklumat penerima bantuan kerajaan,” kata beliau.

Katanya, kebocoran data sangat minimum akan berlaku kerana proses verifikasi akan disahkan terlebih dahulu oleh pengguna sendiri dengan memasukkan MyKad (jika didaftarkan di kiosk).

SELARI

“Jika maklumat tersebut tepat dengan pengguna dan selari dengan data JPN, maka Digital ID akan dikeluarkan dan disimpan dalam peranti masing-masing.

“MIMOS terlibat dalam aspek pelaksanaan dan teknikal, manakala pihak berkuasa kawal selia terletak pada JPN sebaik sahaja proses pendaftaran selesai. MyDigital ID tidak ‘pegang’ data, sebaliknya hanya pemudah cara,” katanya.

Beliau menjelaskan, pengguna MyDigital ID disasarkan kepada ahli Kabinet terlebih dahulu, dan kemudian penjawat awam dan penerima manfaat kerajaan, seterusnya diperluaskan kepada pengguna awam.

Pada masa ini, katanya, terdapat 36 entiti perkhidmatan kerajaan disahkan berada dalam MyDigital ID dan ia akan diperluaskan secara berperingkat.

“Pihak kami juga bersama kerajaan akan memikirkan kaedah bersesuaian kepada kira-kira 20,000 orang awam yang tidak memiliki peranti terutama mereka yang dalam kumpulan penerima bantuan kerajaan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×