Membangun OKU Madani: Kejayaan dan Harapan

Membangun OKU Madani: Kejayaan dan Harapan

KPWKM sentiasa fokus dengan pembangunan kumpulan OKU dan menerusi Belajawan 2023, pelbagai inisiatif disediakan untuk mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa fokus dengan pembangunan kumpulan sasar iaitu Orang Kurang Upaya (OKU).

Biasanya masyarakat kurang prihatin terhadap golongan ini, sekali gus kesedaran wujudnya golongan OKU dalam masyarakat perlu dipupuk sejak kecil lagi agar mereka tidak dipinggirkan.

Dalam hal ini, ibu bapa, warga pendidik dan semua pemimpin masyarakat seharusnya memainkan peranan dalam memberi kefahaman tentang perkara itu.

Berdasarkan statistik JKM sehingga 31 Oktober 2023, seramai 681,074 OKU berdaftar dengan Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU).

Statistik ini adalah 1.8 peratus daripada penduduk Malaysia dan angka ini masih rendah berbanding laporan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati 15 peratus daripada rakyat sesebuah negara terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Selaras dengan itu, kerajaan menggubal pelan tindakan bagi meningkatkan martabat OKU supaya nasib mereka terbela.

Usaha kerajaan ini dapat dilihat melalui Belanjawan 2023 yang bertemakan ‘Teguh Kita Menang Bersama’ apabila pelbagai inisiatif disediakan seperti Bantuan golongan OKU (RM1 billion) seperti Elaun Pekerja Cacat (RM542 juta), Elaun OKU Tidak Berupaya Kerja (RM346 juta), Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Kronik Terlantar (BPKT) (RM170 juta), Wang Saku Institusi Kurang Upaya (RM0.63 juta), dan Pemulihan Dalam Komuniti (RM109 juta).

Peruntukan juga diberikan kepada pelajar dan guru pendidikan khas di mana sebanyak RM20 juta dibekalkan untuk peralatan mengajar serta menambah baik fasiliti di sekolah berkeperluan khas.

Bagi menggalakkan lebih ramai OKU berniaga, kerajaan juga memperkasa Skim 1 OKU 1 Perniagaan dengan mengecualikan bayaran fi pendaftaran dan pembaharuan lesen perniagaan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Kerajaan juga menyediakan peruntukan RM10 juta bagi pemberian baucar perjalanan kepada OKU melalui perkhidmatan e-hailing.

Kementerian Kewangan juga akan merintis Pusat Panggilan Mesra OKU dengan menggunakan mod panggilan video bersama khidmat jurubahasa isyarat bagi menyampaikan maklumat kepada OKU dan seramai 260,000 layak menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Sebanyak RM1.2 bilion disalurkan dalam bentuk penjagaan OKU kronik terlantar, OKU tidak upaya bekerja dan elaun pekerja, kadar elaun pelatih OKU yang mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti ditingkatkan kepada RM300 sebulan dan lebih 18 ribu pelatih OKU mendapat manfaatnya, pembiayaan khas oleh BSN disediakan sebanyak RM50 juta untuk usahawan OKU mikro.

Selain itu, sebanyak RM1 juta diberi kepada setiap universiti awam bagi melaksanakan Program Pengupayaan Komuniti MADANI dan Program Pemulihan Dalam Komuniti OKU.

Dari segi pendidikan, kerajaan menggalakkan komuniti rentan khususnya OKU mengikuti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat di Kolej Komuniti.

Peruntukan sebanyak RM5 juta telah disediakan untuk manfaat 5,000 komuniti tumpuan di 105 kolej komuniti seluruh negara manakala, sebanyak RM30 juta ringgit telah disediakan bagi membekal peralatan sokongan pendidikan khas dan menyediakan kemudahan mesra OKU bagi memudahkan urusan murid dan guru sepanjang berada di sekolah.

Sebanyak RM1 bilion diperuntukkan untuk penyelenggaraan di semua jenis sekolah seperti sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah tamil dan cina termasuk sekolah pendidikan khas.

Dasar 1 Peratus Peluang Pekerjaan kepada OKU akan diperluas kepada golongan bekas banduan dan warga emas melalui padanan pekerjaan MYFutureJobs dan program MySTEP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN