Makan biskut dua hari sekali elak kebuluran - Utusan Malaysia

Makan biskut dua hari sekali elak kebuluran

PETUGAS  membantu mengebumikan mayat 80 penduduk Palestin di kubur besar di Gaza.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penduduk Gaza kini menghampiri kebuluran apabila ramai dalam kalangan mereka hanya makan biskut dua hari sekali untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Selain tiada bekalan makanan, baki penduduk Gaza juga semakin sukar mendapatkan bekalan air bersih menyebabkan mereka terdedah dengan pelbagai penyakit susulan mayat-mayat tidak dikebumi.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, seorang pemuda Pales­tin yang juga penuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Fouad Ibrahim Alsamna berkata, ahli keluarganya di Gaza semakin sukar mendapatkan bekalan makanan dan hanya makan biskut dua hari sekali.

“Untuk mendapatkan bekalan makanan dan air bersih sangat susah, ahli keluarga saya terpaksa catu bekalan makanan dan hanya makan biskut untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan berdasarkan data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), setakat ini le­bih 7,685 kanak-kanak bawah lima tahun berisiko mengalami keadaan yang mengancam nyawa seperti terdedah kepada masalah perkembangan terbantut, penyakit dan dalam kes yang lebih teruk membawa kematian.

Lebih 4,000 lagi kanak-kanak dikategorikan sebagai kekurangan berat badan dan memerlukan rawatan.

Kata Fouad, rakyat di Palestin juga terdedah dengan pelbagai ancaman penyakit, bukan sahaja Covid-19 tetapi penula­ran penyakit berjangkit lain.

“Mereka di Gaza terdedah dengan kematian dan kecede­raan, bukan itu sahaja timbunan mayat yang banyak menjadikan penularan penyakit berjangkit lebih mudah berlaku,” katanya.

Katanya, ahli keluarganya kini turut risau apabila sukar mendapatkan bekalan air bersih sehingga mereka terpaksa menggunakan air yang tercemar untuk diminum.

“Pengambilan air tercemar menyebabkan ramai rakyat di Gaza mengalami cirit-birit,” katanya.

Dalam perkembangan setakat semalam, dilaporkan 21,507 rakyat Palestin terbunuh manakala 55,915 cedera akibat serangan oleh Israel yang tidak berhenti.

Bagi tempoh 24 jam lalu, dilaporkan 187 orang mati manakala 312 lagi cedera.

Baru-baru ini, sebuah portal antarabangsa melaporkan Israel melepaskan tembakan ke atas konvoi bantuan yang melalui jalan yang dibenarkan untuk menghantar bantuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN