Lelaki tikam ibu bapa sampai mati

Lelaki tikam ibu bapa sampai mati

Suasana hiba ketika jenazah suami isteri warga emas yang dibunuh anak mereka dibawa keluar dari unit forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gara-gara di bawah pengaruh tiga jenis dadah, seorang anak lelaki bertindak kejam menikam ibu bapanya beberapa kali sehingga pasangan suami isteri itu meninggal dunia di tempat kejadian di sebuah rumah di Sungai Penchala di sini, kelmarin.

Difahamkan, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran antara bekas pesara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berusia 82 tahun dan isterinya, 72, dengan suspek.

Bagaimanapun, kejadian itu didengari jiran dan memanggil salah seorang ahli keluarganya tinggal berhampiran untuk memaklumkan perkara terbabit sebelum suspek dilihat keluar dari kediaman itu dan melarikan diri.

Malah, suspek berusia 42 tahun itu baru sahaja dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain diberikan jaminan mahkamah sebanyak RM2,000 pada 1 Disember lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pemeriksaan saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan morfin.

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai sembilan rekod kes jenayah sejak Januari 2016 hingga November lalu.

“Suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini semalam.

Dalam pada itu, menurut Allaudeen, hasil pemeriksaan awal terhadap kedua-dua mangsa menemukan beberapa kesan tikaman pada tubuh mereka.

Jelasnya, bagaimanapun tidak dapat dipastikan punca sebenar kematian dan proses bedah siasat dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya.

Tambahnya, pihak polis turut menemukan beberapa senjata dipercayai digunakan dalam kejadian itu antaranya mata pisau, dua hulu pisau, helmet, satu meja kayu bulat, batang kayu, serpihan kayu dan sepasang berwarna hitam dipercayai suspek.

Dalam pada itu, menurut saksi enggan dikenali, kejadian itu disedari berlaku kira-kira pukul 7 petang ketika penduduk kampung sedang bersiap untuk menunaikan solat maghrib.

“Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan mengerikan, ini kejadian yang amat tragis kerana saya kenal keluarga ini malah jika sesiapa yang tidak mengenali haji dia bukan orang sini,” katanya.

Tinjauan di PPUM mendapati terdapat ahli keluarga menunggu proses bedah siasat berlangsung.

Bagaimanapun, mereka enggan ditemu bual apabila didekati wartawan dan difahamkan kedua-dua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Penchala dalam selepas Isyak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN