KPM perlu lihat semula sistem pendidikan, ukur prestasi pelajar dengan adil - Utusan Malaysia

KPM perlu lihat semula sistem pendidikan, ukur prestasi pelajar dengan adil

MOHD. BADRUL AZHAR ZULKAPLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar untuk melihat semula sistem pendidikan negara agar dapat mengukur prestasi pelajar dengan adil dan berkualiti.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Negeri Sembilan, Mohd. Badrul Azhar Zulkapli berkata, ia termasuklah daripada segi sistem pencapaian yang dilihat tidak selari antara sekolah rendah dan sekolah menengah atas.

“Perkara ini (sistem pencapaian) perlu dikemaskini dan KPM perlu berbuat sesuatu kerana isu ini sebenarnya telah terlepas pandang selama ini.

“Asyik mahu rombak peperiksaan sahaja tetapi daripada segi sistem pencapaian tidak diberi perhatian. Contohnya apabila pelajar sekolah rendah capai markah 80 dikira memperolehi A, di sekolah menengah atas pula, capai markah 85 baru dikira A dan oleh demikian KPM kena buat sesuatu agar seragamkan semula sistem pencapaian pelajar supaya pelajar tidak bercelaru.

“Kemudian barulah kembalikan semula peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sepertimana gesaan pelbagai pihak sebelum ini meskipun kerajaan telah mengambil keputusan memansuhkan sepenuhnya pelaksanaan ujian terbabit sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini telah memansuhkan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula 2021 dan memperkasa Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Bagaimanapun, Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) diperkenalkan pada sesi persekolahan 2022/2023 bagi memperkukuhkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan PBS.

Berhubung gesaan untuk kembalikan semula UPSR, katanya, mengembalikan semula peperiksaan awam bukan bererti menghapuskan penilaian seperti PBD, PBS, UASA dan sebagainya.

“Penilaian tersebut perlu diteruskan, cuma di peringkat kebangsaan pelajar perlukan satu penilaian awam dan setara untuk memberikan keadilan kepada semua penuntut tidak kira bandar atau luar bandar.

“UASA juga haruslah berperanan sama seperti dengan peperiksaan UPSR untuk melihat hala tuju lima tahun akan datang kerana ramai dalam kalangan ibu bapa masih lagi tidak mempunyai pendedahan berhubung peranan UASA itu sendiri, serta tidak nampak bagaimana pelajar itu berusaha untuk bersaing mendapat markah yang terbaik,” katanya.

Tambahnya Mohd. Badrul Azhar, selain itu, dengan mengembalikan semula peperiksaan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), guru-guru mempunyai matlamat dan hala tuju yang jelas serta tahu kegagalan dan kejayaan hasil modul pengajaran yang dilaksanakan.

“Ini kerana, kejayaan dan kegagalan sesebuah sekolah saling bergantungan antara guru serta pelajar. Jika kedua-duanya mempunyai hala tuju jelas dan matlamat yang boleh diukur melalui peperiksaan awam maka kualiti semua pelajar boleh dipertingkatkan,”katanya.

Ujarnya lagi, sistem sedia ada sendiri pun dilihat tidak membantu pelajar untuk berdaya saing menjadi pelajar cemerlang selain sistem-sistem lain yang dilihat masih ‘goyah’ termasuklah pemilihan aliran bagi sekolah menengah atas.

“Ini yang dialami para pengajar sekarang. Pelajar lemah dalam mata pelajaran seperti Matematik, Sains dan kita tahu mereka lemah tapi tidak dikaji, kita nampak tetapi tidak buat apa-apa,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya