PETALING JAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi sebuah kementerian mencabar dan memerlukan pemikiran di luar kotak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pada hari pertama melaporkan diri di kementerian itu, beliau akan mendengar taklimat secara menyeluruh agensi di bawah kementeriannya.
“Ia adalah sebuah kementerian yang mencabar dan banyak perkara yang melibatkan pemikiran di luar kotak dalam menghadapi cabaran masa depan.
“Bersandarkan pengalaman yang saya miliki, Insya-Allah, saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk negara,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Johari sebagai muka baharu dalam barisan Kabinetnya iaitu sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.
Portfolio kementerian itu sebelum ini dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Johari pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan II semasa pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional dari Jun 2016 hingga Mei 2018.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau akan membalas kepercayaan dan tanggungjawab diberikan Perdana Menteri kepadanya dengan melaksanakan tugas sepenuh hati.
Menurutnya, beliau juga akan memberikan kerjasama penuh kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
“Kementerian ini sangat besar dan mempunyai banyak koperasi di bawahnya, jadi saya akan beri kerjasama kepada menteri supaya dapat memperkukuhkan dan menaikkan potensi kementerian ke tahap lebih baik.
“Pelantikan ini adalah suatu tanggung jawab berat, tapi saya akan berusaha untuk memperoleh pencapaian terbaik. Fokus utama saya di kementerian adalah meningkatkan potensi perusahaan mikro,” katanya.
Selain memegang jawatan Timbalan Menteri, Ramanan juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra). – UTUSAN











