PETALING JAYA: Inisiatif Ekonomi Madani yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan adalah elemen yang paling diterima rakyat berdasarkan kajian dilakukan lapan pakar akademik dan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dapatan itu diperoleh berdasarkan kaji selidik dikendalikan Universiti Utara Malaysia (UUM) bertajuk ‘Inisiatif Madani: Penerimaan Rakyat’ dalam tempoh 34 hari bermula 1 November 2023 hingga 4 Disember 2023.
Sebanyak 82 peratus responden yang mengambil bahagian dalam kaji selidik ‘ menyokong dan menerima baik 30 Inisiatif Ekonomi Madani yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beliau menjawat jawatan itu pada 24 November tahun lalu.
Seramai 4,606 responden dipilih dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata daripada sejumlah 21,473,409 pengundi berdaftar yang diwartakan pada 3 Oktober 2023 merangkumi semua kaum, jantina dan peringkat umur di semua 222 Parlimen di 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan.
Mereka dihubungi secara dalam talian menggunakan aplikasi WhatsApp dan Telegram serta melalui panggilan telefon) atau ditemu bual secara tatap muka.
UUM dalam kenyataan berkata kajian oleh sekumpulan penyelidik dari institusi berkenaan dan dua NGO mendapati inisiatif paling mendapat sokongan ialah usaha Kerajaan Perpaduan membantu golongan yang memerlukan, khususnya golongan miskin.
BERNAS
“Antaranya inisiatif mendorong Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) menyumbang RM60 juta kepada pesawah miskin yang mendapat 96 peratus sokongan berbanding dua peratus bantahan, manakala inisiatif menoktahkan miskin tegar pula mendapat 93 peratus sokongan berbanding tiga peratus bantahan.
“Turut mendapat penerimaan tertinggi responden adalah inisiatif pemberian sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) termiskin yang mendapat 93 peratus sokongan berbanding empat peratus bantahan,” menurut kajian itu.
Bagi Konsep Payung Rahmah pula, ia termasuk Inisiatif Menu Rahmah serta Jualan Rahmah mendapat 92 peratus sokongan berbanding empat peratus membantah.
Selain itu, aspek Inisiatif Ekonomi Madani yang paling mendapat sokongan ialah usaha Kerajaan Perpaduan memerangi rasuah dengan penerimaan tinggi terhadap langkah kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal.
Langkah yang mendapat 94 peratus sokongan berbanding dua peratus bantahan itu diyakini dapat menjamin kebijakan ekonomi yang lebih telus dan bertanggungjawab.
Turut mendapat sokongan inisiatif kerajaan yang memperkenalkan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan untuk menjamin supaya tidak boleh sewenang-wenangnya berlaku pembaziran wang rakyat dan pelanggaran hukum yang mendapat 94 peratus sokongan berbanding dua peratus bantahan.
REFORMASI
Bagi inisiatif melaksanakan reformasi institusi dan tatakelola baik bagi menghapus segala ruang yang boleh mewujudkan amalan rasuah pula, mendapat 93 peratus sokongan berbanding empat peratus bantahan.
Selain itu, menurut kajian itu, didapati 83 peratus responden menyatakan puas hati dengan kejelasan hala tuju dasar-dasar ekonomi di bawah konsep Malaysia Madani berbanding tujuh peratus ketidakpuasan hati.
“Sebanyak 78 peratus responden juga menyatakan keyakinan Inisiatif Ekonomi Madani mampu membawa ekonomi Malaysia menjadi lebih kuat dan 66 peratus responden turut menyatakan kepuasan hati mereka dengan prestasi Perdana Menteri menguruskan ekonomi Malaysia,” lapor kajian itu.
Oleh itu, dapatan kajian tersebut sekali gus menepis kenyataan sesetengah pihak bahawa dasar ekonomi di bawah konsep Malaysia Madani tiada hala tuju selain menolak tanggapan bahawa ramai rakyat tidak berpuas hati dengan usaha Kerajaan Perpaduan membantu golongan yang memerlukan, memerangi rasuah dan menjana pertumbuhan ekonomi.
Menerusi kaji selidik tersebut hampir semua Inisiatif Ekonomi Madani mendapat markah A.
Secara spesifiknya, 11 Inisiatif Ekonomi Madani mendapat markah A+ (90-100), 13 Inisiatif Ekonomi Madani mendapat markah A (80-89), 2 Inisiatif Ekonomi Madani mendapat markah A- (75-79), 1 Inisiatif Ekonomi Madani mendapat markah C- (45-49), 1 Inisiatif Ekonomi Madani mendapat markah D+ (40-44), 1 Inisiatif Ekonomi Madani mendapat markah D (35-39) dan 1 Inisiatif Ekonomi Madani mendapat markah F (0-34).- UTUSAN










