Imigresen Johor tahan 46 PATI bekerja sebagai tukang urut, pekerja restoran - Utusan Malaysia

Imigresen Johor tahan 46 PATI bekerja sebagai tukang urut, pekerja restoran

ANTARA 46 PATI yang ditahan Imigresen Johor dalam serbuan di sebuah bangunan di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja sebagai tukang urut dan pekerja restoran ditahan Jabatan Imigresen Johor dalam Op Gegar dan Op Selera di sebuah bangunan menara terkenal di bandar raya ini, semalam.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, serbuan yang dijalankan pada pukul 4.45 petang itu melibatkan beberapa premis pusat refleksologi dan spa serta restoran.

Serbuan tersebut dibuat ekoran aduan awam yang memaklumkan beberapa premis berkenaan menawarkan khidmat seks kepada para pelanggan. 

“Selain 46 warga asing melibatkan 35 rakyat Indonesia, lapan rakyat Thailand, dua India dan seorang warga Bangladesh, turut ditahan seorang wanita warga tempatan yang merupakan majikan.

“Kesemua suspek yang berusia 21 hingga 58 tahun itu ditahan kerana didapati menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 yang disyaki palsu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Baharuddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Seorang warga tempatan yang ditahan pula disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959-63 (Akta 155) kerana melindungi warga asing.

“Kita mengesan ramai warga asing menyalahgunakan kemudahan tinggal di Malaysia untuk bekerja secara haram dan terlibat dengan aktiviti tidak bermoral. Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN