Dataran Kampung Bantal hampir tenggelam, air Sungai Tembeling makin meningkat - Utusan Malaysia

Dataran Kampung Bantal hampir tenggelam, air Sungai Tembeling makin meningkat

KEADAAN banjir yang hampir menenggelamkan kawasan dataran perniagaan di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang. - FOTO/IHSAN PENDUDUK KAMPUNG BANTAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Air Sungai Tembeling dilaporkan hampir menenggelamkan beberapa buah premis di dataran perniagaan Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini hari ini.

Menurut sumber penduduk Kampung Bantal, air melimpah sepenuhnya ke kawasan tersebut kira-kira pukul 9 pagi hari ini dan alat penyukat air Jabatan Pengairan Saliran (JPS) mencatat paras 107.2 meter meningkat berbanding kejadian awal kira-kira pukul 1 pagi hari ini di paras 105.86 meter sudah pun menunjukkan paras amaran bahaya.

Kebanyakan premis kedai kopi dan makanan sudah tidak beroperasi kerana dimasuki air kecuali beberapa buah premis dan kediaman penduduk di pesisir sungai itu yang telah pun dipasang tong pelampung.

Turut tenggelam laluan jalan simen dari Kampung Sepia ke Kampung Bantal termasuk di sekitar dataran perniagaan menyebabkan penduduk di kedua-dua kampung menggunakan perahu ke rumah jiran dan lain-lain urusan.

Namun tidak ada pemindahan mangsa kerana kediaman penduduk terletak di kawasan tinggi berdekatan dataran itu, manakala bagi mereka yang tinggal di pesisir sungai selamat kerana kediaman itu dipasang tong pelampung dan ditambat dengan tali besi pada pokok besar.

Penduduk Kampung Bantal dan Kampung Sepia di Ulu Tembeling setiap tahun akan berdepan dengan bencana tersebut kerana hujan lebat di kawasan ulu lagipun faktor peningkatan paras air Sungai Dungun, Terengganu yang bersempadankan Ulu Tembeling daerah ini juga dikira faktor air Sungai Tembeling dan Sungai Sepia naik dengan pantas.

Penduduk Kampung Bantal, Mohd. Zaimi Ali, 59, berkata, fenomena banjir sudah menjadi perkara biasa bagi penduduk di pesisir Sungai Tembeling kerana setiap penghujung tahun ketika Monsun Timur Laut mereka tetap berdepan dengan bencana itu.

“Sama ada banjir ini besar atau kecil, kami yang tinggal di pesisir sungai ini sudah ‘alah bisa tegar biasa’ dan lebih penting menjaga keselamatan harta benda dan keluarga termasuk mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Apabila air mula naik pada pukul 12 tengah malam tadi, saya bergegas turun ke sangkar ikan patin dan lampam di sungai berdekatan rumah untuk menyelamatkan (sangkar) daripada dihanyutkan banjir,” katanya di Kampung Bantal di sini hari ini.

Penduduk warga emas, Omar@Ali Bahar Mat Jaya, 66, berkata, kejadian banjir penghujung tahun bukan fenomena baharu malah sejak dia usia muda kerap berlaku pada waktu yang sama.

“Saya membuat persiapan sebelum banjir dengan berbelanja barang keperluan dapur yang secukupnya diperoleh dari bandar Jerantut kira-kira 130 kilometer dari kampung ini dua bulan lalu kerana sudah menjangka setiap kali penghujung tahun berlaku banjir,” katanya.

Ujarnya, rumahnya selamat kerana terletak di kawasan tinggi dan cuma duduk berehat kerana tidak boleh keluar kerana hujan lebat lagipun kawasan kedai kopi ditutup sementara kerana banjir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya