DAP mahu bekerjasama dengan UMNO hadapi PRN Johor - Utusan Malaysia

DAP mahu bekerjasama dengan UMNO hadapi PRN Johor

ANTHONY LOKE ditemui media selepas merasmikan Konvensyen DAP Johor di Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan ketika ini boleh dijadikan asas untuk menjalinkan kerjasama antara DAP dan UMNO Johor sebagai sebuah pasukan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 nanti. 

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pengukuhan kerjasama antara kedua-dua parti nampak terserlah selepas kejayaan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Simpang Jeram dan Pulai sebelum ini.

Walau bagaimanapun, kerjasama itu akan diserahkan kepada Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong untuk melakukan perbincangan dengan kepimpinan UMNO Johor. 

Menurutnya, pada ketika ini DAP Johor akan menyokong semua agenda pembangunan kerajaan negeri termasuk menyumbang idea dalam Belanjawan Johor 2024 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, baru-baru ini. 

“Jalinan kerjasama ini lebih relevan dibincangkan oleh kepimpinan di peringkat negeri yang perlu melihat sama ada terdapatnya ruang untuk bekerja dalam satu pasukan apabila PRN nanti. 

“Secara peribadi saya terbuka dengan apa-apa cadangan termasuk untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan di negeri Johor, namun semua ini perlu dibincangkan di belakang tabir oleh Chin Tong,” katanya ditemui selepas merasmikan Konvensyen DAP Johor, di sini hari ini. 

Menurutnya, perbincangan untuk menjalinkan kerjasama itu juga masih terlalu awal kerana PRN Johor dijangka diadakan selewat-lewatnya pada Mei 2027.

Sementara itu, Chin Tong berkata, keberadaan DAP dan UMNO dalam kerajaan di peringkat Persekutuan antara sebab pihaknya menyarankan supaya perkara sama dilakukan di peringkat negeri Johor yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN). 

“Ia juga amat bersesuaian apabila dalam hal-hal dengan pihak kerajaan negeri telah memberi ruang kepada Pakatan Harapan untuk menyumbang idea demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat, yang diberi sokongan secara rasmi oleh DAP,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya