Covid-19: Maik akan keluarkan pekeliling kepada semua 611 buah masjid

Covid-19: Maik akan keluarkan pekeliling kepada semua 611 buah masjid

TENGKU Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (kanan) menerima bayaran zakat dari Lembaga Jurukur Tanah Malaysia pada Majlis Pembayaran Zakat Kepada MAIK di Kompleks Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akan mengeluarkan pekeliling kepada semua 611 masjid di bawah pentadbirannya susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negara ini.

Yang Dipertuanya, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, setakat ini belum ada sebarang prosedur operasi standard (SOP) untuk Covid-19 yang ditetapkan oleh MAIK bagi masjid-masjid di negeri ini.

“Tetapi perancangannya, kita akan mengeluarkan pekeliling kepada masjid-masjid supaya menggalakkan para jemaah memakai pelitup muka,” katanya selepas Majlis Pembayaran Zakat Korporat Kepada MAIK di Kompleks Balai Islam Lundang, di sini hari ini.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan memberitahu, pekeliling yang akan dikeluarkan adalah lebih kepada galakan untuk memakai pelitup muka dan tidak dianggap sebagai penetapan SOP.

Katanya, langkah tersebut perlu diambil memandangkan berlaku peningkatan tinggi kes-kes Covid-19 pada ketika ini.

“Ia sebenarnya bukan SOP sebaliknya menggalakkan pemakaian pelitup muka bagi orang ramai yang menunaikan solat berjemaah di masjid. Jadi ia bukan suatu kemestian,” tegasnya.

Malaysia merekodkan 20,696 kes jangkitan baharu Covid-19 antara 10 hingga 16 Disember lalu dengan 28 kes kematian baharu, 28,375 kes aktif.

Dalam perkembangan lain, Tengku Mohamad Rizam memberitahu sehingga kini MAIK belum menerima sebarang permohonan untuk bantuan mangsa banjir termasuk dari kerajaan negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pihak kerajaan negeri dan JKM juga sudah memberikan bantuan. Malah ketika mangsa banjir mendaftar di pusat perpindahan sementara (PPS) juga mereka sudah dapat bantuan daripada kerajaan.

“Bagaimanapun sekiranya ada permohonan diterima, MAIK tiada masalah untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN