SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan setengah gaji atau minimum RM2,500 kepada penjawat awam negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkannya pada pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2024 hari ini.
Menurut beliau, bantuan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam Negeri Sembilan itu akan dibayar sebanyak dua kali iaitu pada hujung bulan Februari sebagai persediaan persekolahan dan hujung bulan Mac menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Adalah diharapkan bantuan khas kewangan ini dapat menyuntik semangat semua penjawat awam untuk bekerja dengan lebih gigih lagi,” katanya pada Persidangan Ketiga (Belanjawan), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim berkata, seramai 6,662 orang penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan akan menerima BKK berkenaan,
“Selaras dengan tema Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2024 iaitu Bersama Membina Negeri Madani, saya menyeru agar semua penjawat awam di Negeri Sembilan bersama-sama berganding bahu memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi mengukuhkan kegemilangan negeri demi kesejahteraan rakyat.
“Berusahalah dengan lebih gigih lagi untuk mempertingkat produktiviti dan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Teruskan komitmen kita sebagai penjawat awam bagi mendukung aspirasi Kerajaan Negeri demi menjadikan Negeri Sembilan sebagai model sebuah negeri maju yang bersatu padu, bertoleransi, saling menghormati, bertamadun dengan ekonomi yang mampan dan kehidupan rakyat aman makmur serta sejahtera,” katanya.-UTUSAN.