SEREMBAN: Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan menunaikan janji manifesto Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 yang lalu menerusi pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2024 hari ini.
Antara yang ditunaikan termasuklah pemberian sumbangan RM500 kepada golongan belia di negeri yang ingin melangsungkan perkahwinan kali pertama serta sumbangan keceriaan sebanyak RM200 seorang kepada warga emas yang berusia 70 tahun.
“Sebagai tanda prihatin dan kasih sayang kepada golongan warga emas yang memerlukan, sumbangan keceriaan sebanyak 200 ringgit seorang kepada warga emas yang berusia 70 tahun ke atas akan disediakan dengan anggaran peruntukan sebanyak RM14.8 juta.
“Setiap bayi yang dilahirkan di negeri ini layak memohon caruman RM100 di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional bermula tahun 2024. Dianggarkan sebanyak 16,000 orang bayi dilahirkan di dalam Negeri Sembilan dan oleh itu sebanyak RM1.6 juta diperuntukkan untuk tujuan ini.
“Selain warga emas dan bayi, tidak dilupakan juga adalah golongan muda yang ingin melangsungkan perkahwinan buat kali yang pertama. Kerajaan Negeri akan memberikan sumbangan sebanyak RM500 seorang kepada golongan belia Negeri Sembilan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5 juta,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2024 yang bertemakan Bersama Membina Negeri Madani pada Persidangan Ketiga (Belanjawan), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, di bawah Skim Sejahtera Rakyat (SSR) di dalam belanjawan itu juga, kerajaan negeri turut akan memberikan sumbangan sebanyak RM300 seorang bagi anak-anak yang memasuki Sekolah Berasrama Penuh.
Jelasnya, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM150,000 terhad sehingga 500 orang penerima setahun.
Aminuddin berkata, tidak dilupakan adalah golongan ibu tunggal yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan yang akan menerima sumbangan one off sebanyak RM200 ringgit seorang.-UTUSAN.










