Bapa pelajar dilanggar mati lega selepas DSP polis didakwa - Utusan Malaysia

Bapa pelajar dilanggar mati lega selepas DSP polis didakwa

Setiausaha Politik Kementerian Dalam Negeri Johari Kassim ketika melawat Muhd Zamrie Zainal Abidin di Taman Chepor Sentosa Chemor hari ini. UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bapa Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi, 17, yang maut dilanggar kereta dipandu pegawai kanan polis, lega apabila tertuduh sudah didakwa di mahkamah.

Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, berkata, hatinya kini tenang apabila individu yang bertanggungjawab itu juga dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Jiwa saya sudah tenang apabila tahu dia (tertuduh) dituduh di bawah seksyen (302 Kanun Keseksaan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Johari Kassim yang juga Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Taman Chepor Sentosa, Chemor di sini hari ini.

Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi, 17,

Menurut pesara tentera itu, dia dan keluarga menerima banyak sokongan ramai yang meminta mereka agar kuat dan tabah menerima insiden menimpa anak bongsu daripada empat beradik itu.

“Satu Malaysia beri sokongan kepada kami. Banyak pesanan yang saya dan anak-anak terima meminta kami untuk tenang. Alhamdulillah, buat masa ini kami tenang.

“Muhammad Zaharif meninggal dunia dengan cara yang betul-betul saya reda kerana pemergian dia mengikat ukhwah kita satu Malaysia,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 29, berkata, emosi kedua ibu bapanya semakin stabil selepas mengikuti perjalanan kes pendakwaan melibatkan adiknya.

Katanya, tiada apa yang mereka minta selain siasatan dan pendakwaan kes itu dijalankan secara telus.

“Alhamdulillah, keadaan mak dan ayah semakin stabil. Mereka semakin tenang dan boleh menerima kenyataan. Orang kata, hati pun semakin lega.

“Cuma, pagi tadi saya tidak dapat menahan sebak (ketika hadir ke mahkamah) kerana pelakunya ada di depan mata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN