KUALA KRAI: Perkhidmatan bot penambang menjadi ‘talian hayat’ kepada lebih 1,000 penduduk dari lima buah kampung Mukim Pasir Kelang, di sini selepas air Sungai Kelantan melimpah akibat banjir.
Seorang penduduk Mahadi Yas, 59, berkata, bot menjadi pengangkutan utama ketika ini ini selepas perkhidmatan feri dihentikan smentara waktu akibat arus deras.
“Penduduk dari Kampung Pasir Kelang Lama dan sekitar terpaksa menaiki tiga bot tambang untuk keluar ke Bandar Kuala Krai. Hal ini kerana beberapa kawasan kampung ditenggelami banjir lebih satu meter.
“Situasi itu menyebabkan penduduk hanya keluar ke bandar jika mempunyai urusan penting termasuk membeli keperluan makanan atau membayar bil dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jeti Feri Pasir Kelang, di sini hari ini.
Mahadi memberitahu, penduduk berharap agar pembinaan jambatan dipercepatkan bagi memudahkan urusan mereka.
“Pembinaan jambatan berkenaan sudah lama berjalan tetapi perkembangannya terlalu perlahan, malah belum sampai 10 peratus.
“Jika ada jambatan untuk menghubungkan jalan darat, pasti ia akan dapat menjimatkan kos perjalanan penduduk. Tambang feri pergi balik RM10,” ujarnya.
Sementara itu, pemandu bot Asrul Akif Jazlan, 23, berkata, sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini penduduk sekitar Pasir Kelang akan menggunakan bot untuk ke bandar.
“Kami sentiasa berpesan agar penumpang sentiasa mementingkan dan menjaga keselamatan diri semasa menaiki bot.
“Kami juga menyediakan jaket keselamatan dan sentiasa berpesan agar penumpang memakainya,” ujarnya.-UTUSAN