Anggota polis terkedu terima berita isteri, dua anak maut kemalangan - Utusan Malaysia

Anggota polis terkedu terima berita isteri, dua anak maut kemalangan

NOR FAIZAH Ridzuan dan dua anaknya maut dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Lipis-Benta di Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang anggota polis berpangkat koperal yang bertugas di ibu pejabat polis daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor terkedu apabila mendapat berita isteri dan dua anaknya maut dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Lipis-Benta di sini.

Anggota polis berkenaan, Koperal Mohd. Azman Mat Yaacob berkata, dia mendapat maklumat kejadian tersebut menerusi abangnya, Mohd. Amri pada pukul 4 pagi hari ini.

“Bagi mengesahkan kejadian ini, saya pun terus menghubungi IPD Lipis cawangan trafik dan nyata kemalangan terbabit melibatkan isteri dan dua orang anak.

“Saya terkedu dan bercampur sedih atas ujian Allah SWT apabila mendengar berita ini dan meminta izin pegawai bertugas di IPD Petaling Jaya untuk ke Lipis menguruskan jenazah isteri dan anak,” katanya kepada pemberita di pekarangan unit forensik Hospital Lipis di sini hari ini.

AZLI Mohd. Noor (kiri) bersama Mohd. Azman Mat Yaacob (kanan) di perkarangan Unit Forensik Hospital Lipis di Lipis, Pahang.

Menurut Mohd. Azman, dia amat hiba kerana kejadian yang berlaku itu bukan di depan matanya malah tidak bersama isteri dan anaknya pulang ke rumah keluarga di Bachok, Kelantan kerana bertugas.

“Semalam, ketika isteri beria-ria ingin pulang ke kampung bersama dua orang anak, saya menasihatkan arwah supaya jangan pulang lagi dan menunggu waktu yang sesuai.

“Walaupun dipujuk berkali-kali, tetapi arwah tetap berkeras untuk pulang ke kampung dengan memandu kereta bersama anak, hati saya sedikit cuak serta ada perasaan kebimbangan terhadapnya,” katanya.

Menurutnya, mereka sama-sama keluar dari rumah pukul 12 tengah malam, dia ke tempat kerja manakala isteri dan anaknya memulakan perjalanan pulang ke Bachok.

“Saya cukup sedih atas kejadian yang meragut ketika ahli keluarga ini, namun reda dengan ujian Allah SWT sambil berdoa supaya roh arwah di tempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.25 pagi hari ini, dua kanak-kanak dan ibu maut setelah kereta jenis Perodua Alza dinaiki dirempuh lori dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Lipis-Benta di sini.

Mangsa yang maut, pemandu kereta jenis Perodua Alza, Nor Faizah Ridzuan, 34, beralamat di Berek Polis Kok Lanas Ketereh, Kelantan, manakala dua kanak-kanak merupakan seorang anak pemandu, Muhammad Hariz Adrian Mohd. Azman, 10, dan seorang lagi anak angkatnya, Muhammad Hafiy Azman Abdullah berusia tiga tahun.

Ketiga mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah di kepala dan dada, manakala pemandu lori, Wan Osman Wan Hussin tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, hasil siasatan awal dan keterangan saksi bebas yang diperoleh di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta Perodua Alza dipandu Nor Faizah dari Kuala Lumpur menghala ke Kelantan.

Katanya, apabila tiba di tempat kejadian semasa melalui selekoh, tiba-tiba kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu dirempuh oleh sebuah lori. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya