SEREMBAN: Sekurang-kurangnya sebanyak 2,000 unit rumah mampu milik Type A yang berharga RM80,000 yang mendapat kebenaran merancang di seluruh Negeri Sembilan sejak tahun 2018 telahpun disiapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, berdasarkan data, dalam tempoh dari bulan Jun 2018 sehingga Mac 2023, sebanyak 10,379 unit rumah mampu milik Type A telah mendapat kelulusan kebenaran merancang.
“Berdasarkan data dalam tempoh Jun 2018 sehingga Mac 2023, sebanyak 10,379 unit rumah mampu milik Type A yang berharga RM 80,000 telah lulus kebenaran merancang di seluruh Negeri Sembilan. Hal ini termasuk projek-projek perumahan yang berada dalam fasa pembinaan dan juga projek-projek rumah mampu milik Type A yang telah siap dibina.
“Disamping itu, 11,493 unit rumah mampu milik Type B berharga RM250,000 ke bawah dan 11,825 unit rumah mampu milik Type C berharga RM400,000 ke bawah telah diluluskan kebenaran merancang sejak tahun 2018. Jumlah ini menjadikan 33,697 unit rumah mampu milik telah diberikan kelulusan oleh Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini, pihaknya sedang mengumpulkan maklumat projek yang telah siap, sedang dibina dan belum dibina.
“Perancangan saya tahun depan adalah bagi memastikan apa-apa kelulusan diberikan dapat terus dilaksanakan,” katanya lagi.
Sementara itu, katanya, dalam projek Taman Angsamas 2, Seremban terdapat sejumlah 135 unit rumah akan dibina dan daripada jumlah tersebut 19 unit rumah Type A berharga RM80,000 telah dibuat pengundian.
“Unit Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan telah menerima sebanyak 2,560 permohonan untuk projek ini dan 131 orang telah melepasi syarat yang telah ditetapkan dan berjaya dalam tapisan yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Sembilan,” katanya lagi.-UTUSAN.