Warga emas maut, kereta rempuh pelanggan kedai makan - Utusan Malaysia

Warga emas maut, kereta rempuh pelanggan kedai makan

TANGKAP layar rakaman video tular sebuah kereta merempuh sebuah kedai makan hingga menyebabkan seorang warga emas maut dalam kejadian di Taman Meranti, Bahau, Jempol, pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang wanita warga emas maut selepas dia yang berada di dalam sebuah kedai makan dilanggar sebuah kereta yang merempuh kedai tersebut dalam kejadian di Taman Meranti, Bahau di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa, Tan Joo Lan, 75, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera Parah di bahagian leher.

Menurut beliau, kejadian lebih kurang pukul 8.50 pagi itu dipercayai berlaku semasa pemandu kereta terlibat iaitu seorang lelaki berumur 78 tahun memandu seorang diri dari arah Taman Satelite menghala ke Taman Meranti. 

“Setiba di lokasi kejadian, ketika hendak meletakkan kenderaan di hadapan kedai makan tersebut, tiba-tiba pemandu kereta telah tertekan pedal minyak kenderaan itu yang menyebabkan kenderaan terus bergerak ke hadapan lalu melanggar dua orang awam yang sedang makan di kedai makan tersebut.

“Akibat kemalangan tersebut, seorang mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian leher dan disahkan maut di tempat kejadian. Seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 35 tahun, mengalami kecederaan ringan dan sedang menerima rawatan di Hospital Jempol,” katanya hari ini.

Tambah Chang Hook, pemandu kereta tersebut telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol bagi tujuan siasatan.

“Pihak polis meminta agar saksi yang berada di tempat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jempol, Inspektor Muhammad Fasha Haiqal Mohd. Faisal di talian 016-3627746,” katanya yang menambah kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya