Tindakan lima ahli parlimen Bersatu sokong Anwar mengecewakan - Saifuddin - Utusan Malaysia

Tindakan lima ahli parlimen Bersatu sokong Anwar mengecewakan – Saifuddin

SAIFUDDIN Abdullah menunjukkan buku laporan setahun bagi Parlimen Indera Mahkota bagi tahun ini, selepas sidang akhbar di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tindakan lima ahli parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan sokongan terbuka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri mengecewakan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, beliau berharap tindakan terbaru dinyatakan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal adalah yang terakhir.

“Apa yang pasti saya tidak bersetuju dengan tindakan mereka (lima Ahli Parlimen) terbabit. Saya tidak pasti keputusan itu semata-mata kerana peruntukan dan kita juga tidak tahu masalah yang mereka hadapi.

“Ini mungkin yang terakhir setakat saya tahulah. Ada perbincangan dengan parti ke? sebab itu saya kata setakat yang saya tahu, sebab ada masanya kita dapat merasakan angin ada bertiup ataupun daun itu ada bergoyang,” katanya dalam sidang akhbar di pusat khidmat parlimen Indera Mahkota di sini.

Syed Abu Hussin menjadi ahli parlimen Bersatu terbaru mengumumkan sokongan terhadap Anwar ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu pernah menyatakan pendirian akan menyokong kepimpinan Anwar jika peruntukan disalurkan ke kawasannya.

Syed Abu Hussin menjadi wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Mengulas lanjut, Saifuddin mengingatkan semua ahli parlimen PN supaya istiqamah dan belajar menjadi pembangkang dan mendahulukan perjuangan parti.

“Kita (perlu) istiqamah dengan perjuangan. Orang kata ikat perut lah sikit untuk jaga pusat khidmat masing dengan pegawai dan kakitangan yang seadanya, setakat yang kita mampu.

“Saya tahu memang perit terutama bagi ahli parlimen yang baharu penggal pertama. Tapi kalau hendak kira saya lagi serik sebab saya pernah menjadi menteri dan ahli parlimen kerajaan (sebelum ini). Jadi, penerimaan pengundi kepada saya mahupun bekas menteri lain itu sebenarnya lebih besar daripada ahli parlimen baharu ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, isu peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang sepatutnya tidak timbul kerana Anwar sendiri pernah berjanji ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk memastikan semua ahli parlimen mendapat peruntukan.

“Berhubung peruntukan terdapat dua bahagian iaitu pengurusan yang biasanya diberikan kepada ahli parlimen RM300,000 setahun untuk kos operasi pusat khidmat.

“Satu lagi pembangunan, kebajikan, bencana dan jumlahnya berbeza antara kawasan (parlimen), ada yang dapat RM1 juta dan ada yang dapat hingga RM2 juta setahun, bergantung kepada jumlah perkapita kawasan diwakili,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya