TH pastikan kos tunai haji tidak meningkat melalui kontrak jangka panjang - Utusan Malaysia

TH pastikan kos tunai haji tidak meningkat melalui kontrak jangka panjang

TABUNG Haji dijangka mengumumkan kadar dividen 2023 lebih baik bulan depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) telah megambil pelbagai langkah bagi memastikan kos untuk menunaikan ibadah haji tidak meningkat.

Salah satu daripadanya ialah mengikat kontrak jangka panjang dengan penyedia perkhidmatan di Arab Saudi supaya harga tidak meningkat setiap tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kontrak tersebut antaranya melibatkan perkhidmatan penerbangan, penginapan dan sajian makanan untuk jemaah.

Menurut beliau, daripada perkemba­ngan semasa, Arab Saudi menambah kadar cukai daripada lima kepada 15 peratus bermula Julai 2020 sekali gus menjadi antara punca kenaikan ketara kos haji.

Selain itu, kata Mohd. Na’im, aktiviti pembesaran berterusan kawasan di Mekah dan Madinah telah menyebabkan banyak bangunan penginapan jemaah haji sebelum dirobohkan dan tindakan itu memberi tekanan kepada harga sewaan di lokasi baharu.

Kata beliau, Arab Saudi juga mengenakan pelbagai perkhidmatan yang disediakan untuk kebajikan dan keselesaan jemaah haji sepanjang mereka berada di Tanah Suci.

KOS

“Justeru, peningkatan kos haji tidak dapat dielakkan kerana ia terdedah kepada faktor di luar kawalan TH. Ini termasuk juga kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi, kadar tukaran mata wang ringgit berbanding riyal dan dolar Amerika Syarikat (AS$),” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos untuk mengerjakan haji, serta syarat dan kelayakan baharu ditetapkan.

Menurut beliau, TH sentiasa peka dengan menyemak secara terperinci kos haji yang terkesan akibat peraturan dan cukai baharu yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi.

“Dengan memeterai perjanjian kontrak jangka panjang, harga beberapa jenis perkhidmatan dapat ditetapkan untuk satu tempoh masa dan tidak dinaikkan setiap tahun,” kata beliau.

Sementara itu, mengenai syarat dan kelayakan mengerjakan haji pada 1445H pula, katanya, ia sama seperti musim haji 1444H melainkan jika ada peraturan baharu yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Antaranya ialah tiada had umur ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi bakal jemaah haji yang ingin menunaikan haji,” katanya.

BANTUAN

Mohd. Na’im berkata, kadar bayaran haji dan bantuan kewangan haji akan diumumkan selepas perbincangan menyeluruh dibuat dengan mengambil kira keupayaan serta kedudukan kewangan TH.

Kata beliau, TH akan terus memberi bantuan kewangan untuk jemaah haji Muassasah yang berkelayakan.

Seain itu, katanya, bakal jemaah haji dinasihati mengambil suntikan vaksin tambahan membabitkan influenza dan pneumococcal di kemudahan kesihatan swasta dengan kos ditanggung sendiri.

Beliau berkata, setiap bakal jemaah haji juga perlu lulus pemeriksaan kesihatan dengan kriteria dan garis panduan kesihatan yang ditetapkan, sebelum dibenarkan berangkat ke Tanah Suci.

“Vaksin tambahan ini digalakkan kerajaan berikutan keadaan di Arab Saudi yang begitu panas, dan ia boleh berfungsi sebagai perlindungan,” katanya. Kos bagi menunaikan ibadah haji tahun depan dianggarkan meningkat mencecah 11 peratus berbanding tahun ini.

Pada 2 Oktober lalu, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar berkata, kos bagi menunaikan ibadah haji tahun depan dianggarkan meningkat mencecah 11 peratus berbanding tahun ini.

Menurut Azman, peningkatan ketara itu berpunca daripada situasi semasa ekonomi pascapandemik Covid-19. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×