Tetapkan penanda aras semakan tarif air - Utusan Malaysia

Tetapkan penanda aras semakan tarif air

air selangor
Selangor tidak akan menghadapi kesan buruk daripada El-Nino kerana kolam tadahannya mampu membekalkan air sehingga sembilan bulan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menetapkan penanda aras tarif air dalam semakan tarif air domestik di semua negeri, awal tahun depan.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer) S. Piarapakaran berkata, penanda aras adalah sangat penting bagi memastikan hanya kos berpatutan dan cekap disalurkan kepada pengguna.

Kata beliau, sehingga kini Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) masih menggunakan kaedah tambah atas kos (cost plus) untuk pelarasan semula tarif yang mana mereka meletakkan margin keuntungan atas kos yang dimohon oleh operator-operator air.

Justeru, katanya, penetapan tarif air perlu berpandukan persetujuan yang dicapai pada 2009 yang memuktamadkan bahawa pelarasan semula tarif air adalah melalui mekanisme yang telus dan adil.

“Mekanime ini menggunakan kaedah penanda aras untuk mengelakkan kos-kos tidak cekap dan tidak berpatutan disalurkan kepada pengguna. Perawatan dan bekalan air akan dikategorikan kepada kluster-kluster kecil mengikut parameter yang setimpal.

AIR MENTAH

“Sebagai contoh, loji-loji perawatan air dengan kualiti air mentah yang sama akan dikelompokkan sekali. Kos elektrik, kos bahan kimia, kos pekerja dan sebagainya disenaraikan bagi setiap meter padu air.

“Gabungan kos yang paling rendah akan digunakan pakai sebagai kos penanda aras. Mana-mana loji air yang beroperasi melebihi kos penanda aras ini, kos lebihan mereka tidak akan dibenarkan untuk disalurkan kepada tarif,” katanya ketika dihubungi, Utusan Malaysia semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, tarif air domestik di semua negeri akan disemak awal tahun depan selepas ada negeri tidak pernah berbuat demikian dalam tempoh 40 tahun.

Mengulas lanjut, Piarapakaran berkata, dengan kaedah penanda aras, pihak SPAN dapat memastikan semua operator air memacu ke arah operasi yang cekap dan mengoptimumkan kos operasi mereka.

Selain itu, katanya, SPAN juga boleh menghadkan margin keuntungan di mana perolehan yang lebih boleh disalurkan untuk mengimbang semula tarif dan membayar balik pajakan kepada PAAB dengan lebih cepat.

“Jadi, persoalan utama adalah, mengapakah SPAN dan operator-operator air ‘seram’ untuk menggunakan kaedah penanda aras yang boleh membantu kerajaan untuk hanya menyalurkan kos yang berpatutan kepada tarif air?

“Pada masa sama, kegagalan SPAN untuk melaksanakan penanda aras bagi pelarasan semula tarif sehingga kini selepas 16 tahun beroperasi adalah bukan satu perkara yang kita boleh pandang ringan,” katanya.

TARIF

Dalam pada itu, beliau menyifatkan, sebarang kenaikan tarif air akan memberi kesan kepada kos barangan dan perkhidmatan. .

Oleh itu, katanya, kerajaan juga perlu wujudkan mekanisme untuk memantau kesan kenaikan tarif air ataupun elektrik secara berterusan.

Jelas beliau, pihak Awer juga sudah berulang kali mengutarakan cadangan itu kepada kerajaan.

“Apa yang kerajaan perlu lakukan adalah membangunkan panduan impak kos kenaikan tarif kepada sektor-sektor berlainan berdasarkan data-data penggunaan air yang ada dengan operator air dan juga data-data pengeluaran dan perkhidmatan pada agensi kerajaan lain.

“Melalui ini, kita dapat mengelakkan sesetengah operasi yang mengaut keuntungan berlebihan dengan memberikan alasan kenaikan tarif air ataupun elektrik,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN