Teruskan GEG, kerajaan ada hujah jika dicabar - Utusan Malaysia

Teruskan GEG, kerajaan ada hujah jika dicabar

Teruskan GEG, kerajaan ada hujah jika dicabar. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tidak perlu khuatir untuk meneruskan Generasi Penamat (GEG) dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Me­rokok Demi Kesihatan Awam 2023 walaupun ia mencabar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Pakar undang-undang, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, kerajaan masih boleh memberi hujah dan justifikasi sekiranya klausa itu dicabar di mahkamah.

Justeru, menurut beliau yang juga Ahli Majlis Profesor Negara (Kluster Politik, Governan dan Undang-Undang) berkata, ia tidak bermaksud kerajaan boleh kalah begitu sahaja jika akta itu dicabar di mahkamah.

“Pandangan saya, walaupun dikatakan GEG itu bertentangan dengan prinsip kesamarataan, ia masih boleh diberi justifikasi berdasarkan kepada kepentingan awam dan perlu satu bentuk undang-undang yang dapat mengawal selia pembelian rokok dan vape.

“Maksudnya, walaupun undang-undang itu mungkin dibantah dan dibawa di mahkamah, kerajaan mempunyai hujah-hujah tertentu untuk mempertahan undang-undang tersebut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Kesihatan menyatakan komitmen untuk membentangkan RUU GEG sebelum berakhirnya sidang Parlimen 30 November ini.

Namun, Pejabat Peguam Negara sebelum ini mengesahkan bahawa RUU Generasi Penamat boleh dicabar di mahkamah kerana ia bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, kerana peruntukan itu mewujudkan layanan undang-undang tidak sama rata antara seseorang yang dilahirkan sebelum 1 Januari 2007 dan seseorang yang dilahirkan pada dan selepas tarikh sama.

Pada masa sama, sebuah portal mendakwa, Kabinet memutuskan untuk menggugurkan peruntukan berkaitan larangan tembakau dan vape berdasarkan umur daripada RUU berkenaan.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda susulan percanggahan dengan klausa generasi penamat itu.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan harus bersedia untuk mempertahankan undang-undang.

“Mereka yang tidak puas hati atau dihukum di bawah undang-undang tersebut mungkin membawa usul mengatakan akta itu tidak berpelembagaan kerana bertentangan dengan prinsip kesamarataan Perkara 8 , jadi kerajaan perlu mempertahan kalau ia dibantah di mahkamah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN