BUKIT KAYU HITAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas bantuan menyelamatkan tawanan rakyat negara mereka dalam konflik di Gaza, Palestin.
Perdana Menteri berkata, penghargaan itu dizahirkan semasa beliau dan Srettha mengadakan lawatan kerja sehari di Sadao, Thailand hari ini,
Beliau berkata, kerajaan Malaysia hanya melakukan perkara yang terbaik berdasarkan kemampuan yang ada.
“Perdana Menteri Srettha mengucapkan terima kasih khas kepada kita kerana bantuan kita sedayanya untuk menyelamatkan tawanan orang Thailand yang di bawah penguasaan Hamas.
“Saya kata kita hanya cuba setakat kemampuan kita, tetapi kebijaksanaan Hamas dan Mesir yang memberikan laluan kepada mereka,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Terdahulu, laporan Bangkok Post melaporkan, tiga lagi rakyat Thailand yang menjadi tawanan Hamas di Gaza telah dibebaskan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan tawanan yang dibebaskan sebanyak 17 orang.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menegaskan komitmen Malaysia untuk meneruskan peranan sebagai fasilitator perbincangan damai yang sedang berlangsung antara pihak berkuasa Thailand dan gerakan pemisah di semenanjung negara itu.
“Walaupun ia perkara dalaman, terdapat sedikit ketegangan di selatan Thailand, kita bertanggungjawab untuk meluaskan kerjasama meredakan ketegangan dengan meminta jaminan terhadap kebebasan masyarakat selatan Thailand untuk mengamalkan agama mereka, budaya serta bahasa tapi tertakluk kepada undang-undang dan peraturan Thailand.
“Saya lihat ada kesediaan Perdana Menteri Thailand untuk bersungguh-sungguh untuk penyelesaian (isu itu) dan kita hanya akan menjadi fasilitator untuk membantu yang diketuai oleh mantan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli (Zainal Abidin),” katanya.- UTUSAN