Sidang DUN: Kedah jangka raih pelaburan RM20 bilion tahun ini - Utusan Malaysia

Sidang DUN: Kedah jangka raih pelaburan RM20 bilion tahun ini

Dr. Haim Hilman Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan Persekutuan sentiasa memberi komitmen kepada Kedah untuk menerima kemasukan pelabur, bagi memastikan negeri ini maju serta berjaya, sama seperti negeri-negeri lain. 

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, komitmen itu sentiasa ditunjukkan khususnya melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Malah menurut beliau, perkembangan positif pelaburan di negeri ini adalah hasil kerjasama antara semua pihak seperti MIDA, Invest Kedah Berhad (IKB), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) serta Kulim Technology Park Corporation (KTPC) Sdn. Bhd. 

“Secara amnya setakat Jun tahun ini, Kedah telah menerima pelaburan bernilai RM14.6 billion dan jumlah itu merupakan yang ketiga tertinggi dalam konteks prestasi pelaburan secara keseluruhan. 

“Jumlah itu bermakna Kedah telah berjaya mencapai sasaran pelaburan melebihi RM10 billion yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 (Kedah 2035) dan bersandarkan rekod pelaburan itu, kerajaan negeri menjangkakan pelaburan masuk ke Kedah secara keseluruhannya tahun ini akan melebihi RM20 billion,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hanif Ghazali (PN-Tanjung Dawai) yang bertanyakan mengenai kategori dan  jumlah jangkaan keseluruhan pelaburan di Kedah tahun ini pada sesi pertanyaan lisan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.   

PELABURAN

Sementara itu Haim berkata, Kedah telah menyumbang sebanyak 10.6 peratus daripada keseluruhan pelaburan dicatatkan di Malaysia yang berjumlah RM132.6 billion setakat Jun lalu. 

Katanya, pelaburan terbesar diterima Kedah untuk tempoh enam bulan pertama dari sektor perkilangan berjumlah RM13.2 billion, perkhidmatan  RM1.3 billion serta primer yang berjumlah kira-kira RM1 juta. 

“Antara faktor yang menarik pelabur kerana Kedah memiliki kelebihan sangat ketara dari aspek nilai tanah yang jauh lebih murah berbanding Pulau Pinang. Dalam masa sama, kita tidak nafikan limpahan ekonomi Pulau Pinang turut membawa pelaburan ke negeri ini, khususnya di selatan Kedah. 

“Selain itu, ‘Ease of doing business’ (Kemudahan dalam menjalankan urusan perniagaan) merupakan tunjang kekuatan Kedah. Tindakan kerajaan negeri mewujudkan pihak berkuasa tempatan (PBT) khusus untuk Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) juga turut meningkatkan keberkesanan pengurusan kelulusan berkaitan pelaburan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN