Semua negeri setuju naik tarif air - Utusan Malaysia

Semua negeri setuju naik tarif air

Semua negeri setuju semakan dan naikkan tarif air tahun depan. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Semua negeri akan menaikkan tarif air selaras dengan keputusan kerajaan untuk menyemak semula kadar­nya tahun depan.
Namun setakat ini negeri terlibat belum menetapkan tarif sebenar bagaimanapun akan melihat kadar yang munasabah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr. Izani Husin berkata, pelarasan itu yang melibatkan tarif domestik dan bukan domestik bukan perkara baharu kerana telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri pada 2019 untuk pelaksanaan secara serentak di seluruh negara.

“Bagaimanapun tertangguh sejak tiga tahun lalu akibat wabak Covid-19 dan pelaksanaan tarif domestik bermula tahun hadapan bukanlah pelarasan tarif yang baharu tetapi yang lama dan tertangguh sejak lima tahun lalu,” katanya.

Katanya, melalui pelarasan itu Air Kelantan Sdn. Bhd. selaku operator air di negeri ini ​dapat menjalankan kerja-kerja pembangunan infrastruktur, baikpulih dan penyelenggaraan yang direncanakan sama ada secara berjadual atau tidak berjadual dengan sempurna

Sementara itu di IPOH, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun menjelaskan, sehingga kini kerajaan negeri belum membuat ketetapan mengenai jumlah kenaikan yang akan dikenakan nanti.

“Kita tiada keputusan muktamad lagi tetapi dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri semalam ada taklimat daripada kementerian berkaitan mengenai dasar air negara dan memang ada disebutkan akan ada semakan semula untuk seluruh Malaysia,” katanya selepas merasmikan Laman Perak Sejahtera di Taman Agro Teknologi Mardi Bagan Datuk di sini semalam.

TUMPUAN

DI KANGAR: Kerajaan negeri akan memberi tumpuan menyelesaikan isu kadar air tak berhasil (NRW) terlebih dahulu sebelum membincangkan lebih lanjut mengenai kenaikan tarif air domestik di Perlis.

Tarif air di negeri ini tidak pernah disemak sejak 25 tahun lalu dan kerajaan negeri menyedari keperluan untuk mengkaji kenaikan itu namun perlu memastikan keadaan bekalan air di Perlis berjalan baik terlebih dahulu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Infrastruktur dan Pengangkutan Awam negeri, Izizam Ibrahim berkata, pada masa ini, Perlis mencatatkan kadar NRW yang cukup tinggi sebanyak 63 peratus.

DI SHAH ALAM: Kenaikan tarif air perlu disegerakan memandangkan hampir kesemua syarikat yang mengendalikan bekalan air di seluruh negara beroperasi dalam kerugian.

Menurut Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim, tarif air sepatutnya sudah lama dinaikkan dan kesemua syarikat utiliti tersebut tidak menanggung beban kewangan.

“Kenaikan tarif air (yang dicadangkan) melibatkan tarif air domestik. Sebenarnya perkara ini belum ada keputusannya kerana ia melibatkan semua negeri.

“Ia tertakluk kepada penyelarasan oleh menteri atau kerajaan pusat (untuk tarif baharu ditetapkan),”katanya ketika ditemui pemberita, hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN