MUKADIMAH
BARISAN Nasional (BN) mempertaruhkan tokoh hebat, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Jeneral (B) Raja Muhamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon parti itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.
Walaupun beliau pernah memegang jawatan tertinggi dalam ATM, namun beliau cukup mudah mesra ketika menyantuni pengundi di Parlimen itu.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZAID MOHD. NOOR dan NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN, Raja Mohamed Affandi menjelaskan beliau mahu menggunakan sepenuh masa yang berbaki menjelang hari pembuangan undi untuk menyantuni seramai mungkin pengundi di Parlimen itu, khususnya di kawasan-kawasan tertentu.
Pada masa sama, beliau juga meminta pengundi Parlimen Kemaman berfikir secara bijak sebelum membuat pilihan kerana kemenangan BN memberi keuntungan kepada seluruh penduduk Parlimen itu apabila mendapat perhatian Kerajaan Pusat.
Utusan Malaysia: Bagaimana penerimaan pengundi terhadap Tan Sri?
Raja Mohamed Affandi: Kalau bertemu pengundi ada 141,790. Kalau daripada jumlah itu nak kira peratus, ia adalah kecil. Sebab 141,790 ini besar angkanya. Tapi kita merancang menumpukan beberapa tempat di kawasan tertentu.
Penerimaan pengundi daripada pengamatan saya dari segi body languagenya, penerimaan mereka terhadap BN begitu memberangsangkan. Ia memberi keyakinan kepada kita bahawa kemenangan bagi kita tidak mustahil.
Dalam baki beberapa hari berkempen menjelang hari pengundian pada 2 Disember ini, apakah tumpuan yang diberikan oleh Tan Sri memandangkan banyak pihak menjangkakan Pas dapat mempertahankan Parlimen Kemaman dalam PRK ini?
Untuk tiga hari yang terakhir ini, kita akan tumpukan di kawasan yang perlu diberikan perhatian khusus. Itu yang akan dilakukan dalam waktu tiga hari ini. Tiga hari kita ada 72 jam dan saya akan manfaatkan waktu yang berbaki ini sebaik-baiknya.
Adakah Tan Sri berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh pimpinan BN di peringkat Pusat, negeri dan bahagian sepanjang kempen PRK ini? Adakah gerak kerja jentera BN perlu dipergiatkan lagi memandangkan hari pengundian semakin hampir?
Testimoni macam mana lagi yang nak diperkatakan? Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pun bersama saya hari ini untuk berkempen. Jelas saya katakan pemimpin tertinggi UMNO Terengganu bersama saya di setiap waktu untuk tentukan kesatuan dalam kalangan kita ini mendukung perjuangan saya. Bukan sahaja BN, tetapi juga komponen BN yang lain seperti Amanah dan PKR, semuanya turun padang untuk memastikan kejayaan BN.
Apakah permintaan dan harapan Tan Sri kepada pengundi di Parlimen Kemaman?
Permintaan saya mudah. Berfikirlah dengan satu pemikiran yang baik. Analisa dan perhatikan apa yang dapat diperoleh daripada pilihan raya ini. Kalau BN memenangi kawasan ini, yang jelasnya akan memberi keuntungan yang besar kepada penduduk dan pengundi di Kemaman.
Ini kerana, Kerajaan Pusat memberi perhatian khusus. Itu yang pasti kita dapat, baik dari segi peruntukan, bantuan dan jika apa juga bantuan yang diperlukan daripada wakil yang ada, boleh diketengahkan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan Tan Sri salah memilih kapal apabila bertanding atas tiket BN sedangkan rakyat sedang menolak BN. Apa komen Tan Sri?
Salah kapal? Bagi saya tidak. Dalam politik, pengamatan saya mengenai politik adalah ia adalah seni segala kemungkinan. Macam-macam boleh berlaku.
Kalau nak katakan bahawa saya duduk dalam kapal nak tenggelam, pasti ada alasan mengapa kapal ini akan diapungkan. Ia tidak mustahil dan saya cukup percaya yang kita mampu lakukannya.
Saya juga sangat yakin bahawa ini bukan pengakhirannya dan saya telah membuat pilihan yang tepat untuk bersama BN.
Satu pilihan yang tepat untuk saya bersama BN kerana saya dah ulang dahulu ini adalah sebahagian daripada payback time dan ini yang saya berikan kepada negara dan khususnya kepada rakyat di Kemaman ini yang merupakan tempat saya. Saya dibesarkan di sini, saya bersekolah di sini dan kalau boleh saya nak mati di sini. – UTUSAN










