`Sanusi jangan sombong' - Utusan Malaysia

`Sanusi jangan sombong’

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kempen Tahun Melawat Kedah 2025  sukar mencapai kejayaan disebabkan beberapa faktor termasuk sikap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa  sering mengambil pendekatan peribadi dengan seteru politiknya.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Menteri Besar yangjuga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu juga dilihat tidak memiliki pasukan yang diyakini mampu menjayakan kempen tersebut.  

“Saya yakin gagal kerana kerajaan negeri tak ada pasukan diyakini. Menteri Besar pula sering bersifat terlalu peribadi dengan semua seteru politiknya. Walhal perlu banyak berinteraksi bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi menjayakan hasrat itu. 

“Dalam keadaan sekarang, Muhammad Sanusi sendiri pernah buat kenyataan bahawa penerbangan terus dari beberapa destinasi masih tergendala dan semua ini berada di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam sidang akhbar kelmarin, Muhammad Sanusi berharap untuk mendapatkan kerjasama Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 untuk merancakkan sektor pelancongan di negeri ini. 

Sementara itu, Shaiful Hazizy berkata, Muhammad Sanusi tidak wajar sombong dan sebaliknya membuka segera pintu diplomasi bagi mengadakan rundingan kedua-dua pihak.

Menurut beliau, tidak sepatutnya juga Muhammad Sanusi hanya membuat penafian tanpa mencari penyelesaian terhadap isu pelancongan di Langkawi. 

“Hakikatnya memang betul Langkawi berada dalam krisis dan jumlah pengunjung juga merosot. Antara faktornya adalah jumlah operasi feri sudah tidak sekerap dulu. 

TERANCAM

“Industri pelancongan melibatkan golongan B40 sangat terancam. Pengusaha chalet, inap desa dalam keadaan sangat tertekan. Apabila jumlah pelancong semakin kurang, pengusaha terpaksa naikkan harga bagi menangani kos sedia ada,” katanya. 

Justeru, Shaiful Hazizy mempersoalkan sama ada Muhammad Sanusi menyedari kesemua masalah berkaitan atau sebaliknya. 

“Keadaan menjadi lebih teruk apabila Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah mencadangkan perkara tidak siuman dan tak masuk akal seperti membina Transit Aliran Massa (MRT) dari Alor Setar ke Langkawi. 

“Dalam masa sama ‘track record’ kerajaan negeri bawa pelabur ke Langkawi juga sangat teruk. Contohnya projek Widad Langkasuka yang dikatakan bernilai berbilion ringgit sedang menuju kegagalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN