PETALING JAYA: Rakyat Palestin menganggap Malaysia sebagai ‘abang’ yang sentiasa konsisten menyuara dan memperjuangkan nasib mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pengasas Asia Middle East Center (AMEC), Dr. Muslim Imran berkata, walaupun sesetengah pihak berpendapat Malaysia hanyalah sebuah negara kecil, namun rakyat Palestin tidak bersetuju dengan persepsi tersebut.
Sebaliknya, beliau berkata, suara Malaysia sentiasa bergema ketika menyuarakan solidariti dalam isu penjajahan Israel terhadap Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.
“Bagi kami Malaysia sebuah negara besar sebaliknya kamilah negara kecil hanya seluas 350 kilometer persegi.
“Kami melihat Malaysia sebagai abang. Jadi, sebagai abang, Malaysia ada tanggungjawab untuk melindungi adiknya, pada masa sama, sebagai adik, kami bertanggungjawab menghormati abang,” katanya ketika ditemui.
Bagaimanapun, beliau berkata, walaupun Gaza sangat kecil namun pejuang kebebasannya mampu menggoncangkan pertahanan negara yang kononnya paling kebal di Asia Barat iaitu Israel.
Justeru, beliau berkata, negara-negara besar seperti Malaysia mampu melakukan lebih daripada itu untuk bersama-sama membantu mengakhiri penjajah Israel terhadap Palestin sekali gus memerdekakan rakyatnya yang menanggung kesengsaraan sejak berdekad lamanya di tanah air sendiri.
Muslim yang menetap di ibu negara sejak 20 tahun lalu, berkata, seluruh rakyat Palestin menghargai pendirian Malaysia yang sentiasa konsisten terutamanya membabitkan kesengsaraan rakyat Palestin dan berharap sokongan tersebut dapat diteruskan.
Katanya, sokongan Malaysia boleh dilihat dengan bendera Palestin dikibarkan dari utara ke selatan sehinggalah ke Sabah dan Sarawak.
“Akaun media sosial juga menunjukkan sokongan, mereka betul-betul mengambil berat Palestin,” katanya. – UTUSAN










