PM: Sokong Palestin tidak jejas ekonomi - Utusan Malaysia

PM: Sokong Palestin tidak jejas ekonomi

ANWAR Ibrahim ketika mengadakan lawatan ke Mimos Berhad di Bukit Jalil semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendirian tegas Malaysia mengutuk serangan rejim Zionis Israel ke atas penduduk Palestin tidak menjejaskan ekonomi dan pelaburan syarikat asing khususnya dari Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana ketika ini Malaysia terus meraih komitmen pelaburan tambahan sebanyak RM60 bilion dari ASketika lantang menyokong Palestin.

Menurut beliau, nilai pelaburan itu diperoleh ketika beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) di San Francisco, California minggu lalu.

Perdana Menteri berkata, ia menunjukkan sokongan terhadap Palestin bukanlah halangan untuk meraih pelaburan daripada mana-mana pihak.

Katanya, Presiden AS, Joe Biden menghormati pendirian Malaysia mengenai konflik peperangan di Gaza.

“Walaupun kita agak tegas dan lantang menyuarakan di hadapan Presiden Biden mengenai kesengsaraan rakyat Palestin, tapi, kita masih dapat pelaburan tambahan dari AS sebanyak RM60 bilion,” katanya ketika mengadakan lawatan di Mimos Berhad (Mimos) semalam.

Disebabkan itu, katanya, Malaysia perlu terus lantang menyuarakan perjuangan terhadap nasib rakyat Palestin yang terperangkap dalam konflik itu.

“Tidak ada soal lagi bila kita suarakan dengan lantang pembelaan nasib rakyat Palestin yang tertindas, bayi yang terbunuh, wanita jadi korban dan tiba-tiba ada pihak yang bertanya kenapa kita suarakan.

“Betul, banyak masjid musnah, tapi gereja juga musnah. Ini bukan masalah orang Islam atau Kristian, ini masalah manusia.

“Kita sebagai rakyat Malaysia harus menyuarakan hal sedemikian,” katanya.

Sementara itu, di Dewan Rakyat, Anwar berkata, negara-negara lain tidak mempunyai kapasiti untuk menentukan pendirian Malaysia walaupun wujud kebimbangan bahawa sikap tegas Malaysia di hadapan AS dan negara-negara Eropah akan menjejaskan ekonomi negara.

Menurut beliau, kerajaan kini sedang memberi tumpuan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menjalin hubungan dan mempertahan inklusiviti, kemampanan serta daya tahan di peringkat Asia Pasifik.

EKONOMI

“Tentunya sebagai orang yang bertanggungjawab dalam negara dan pertumbuhan ekonomi, kita juga mengambil kira dan prihatin mengenai permasalahan ini.

“Namun, setakat ini saya memberi jaminan bahawa kerajaan bertemu beberapa pelabur utama dan keutamaan masih diberi berdasarkan kestabilan politik dan dasar ekonomi bebas serta kaedah mempercepat proses kelulusan (pelaburan) yang dikendali MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia),” kata Anwar pada sesi pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat semalam.

Anwar menjawab soalan Aminolhuda Hassan [PH-Sri Gading] mengenai hasil mesyuarat dan jumlah pelaburan ke dalam negara sepanjang lawatan ke Persidangan Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di AS, baru-baru ini.

Anwar berkata, Malaysia memanfaatkan sepenuhnya setiap ruang dan peluang di persidangan tersebut untuk menjelaskan komitmen Malaysia ketika pertemuan dengan pelabur asing sehingga membawa hasil pelaburan langsung asing berjumlah RM63.02 bilion.

Selain pertemuan dua hala dengan negara lain, beliau menggunakan ruang di APEC untuk mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat antarabangsa termasuk Google Inc., Microsoft Inc., TikTok dan TPG.

Katanya, pelabur utama AS termasuk Google Inc. dan Microsoft Inc. masih memberi keutamaan kepada kestabilan politik dan dasar ekonomi kerajaan yang jelas, di sebalik tekanan berterusan Malaysia dan negara Islam lain terhadap Israel. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×