Piala Emas Raja-raja: Kelantan yakin peluang ke separuh akhir positif

Piala Emas Raja-raja: Kelantan yakin peluang ke separuh akhir positif

PEMAIN Kelantan (kanan) cuba merampas bola dari pemain Selangor pada aksi suku akhir pertama Piala Emas Raja-raja di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan semalam-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Skuad Piala Emas Raja-raja Kelantan tetap positif mampu melakukan kejutan seterusnya mara ke peringkat separuh akhir meskipun seri tanpa jaringan pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, petang semalam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengendali Kelantan Sazami Shafi’i berkata, pada aksi suku akhir kedua 11 November ini pasukannya perlu berjuang mati-matian untuk menang dan mendapatkan seberapa banyak jaringan jika mahu melangkah lebih jauh.

“Saya tahu Selangor adalah pasukan yang liat untuk ditumbangkan, tambahan pula dengan status juara bertahan. Melihat kepada reputasi itu, saya yakin mereka pasti mahu mengekalkan status itu,” katanya.

Sazami memberitahu, dia lebih selesa jika segalanya di selesaikan dalam 90 minit masa perlawanan namun terpaksa akur sekiranya perlawanan berlarutan ke masa tambahan atau penentuan sepakan penalti.

Katanya, Kelantan akan kembali ke padang latihan untuk merangka perancangan terbaik menjelang aksi kedua nanti.

“Sekarang saya harap momentum bermain sebagai pasukan dan satu unit dapat dikekalkan sehingga ke peringkat suku akhir kedua nanti,” ujarnya.

Sementara itu, Pengendali Selangor Mohd. Faizal Mohd. Esahar berkata, pasukannya mempamerkan aksi yang jauh daripada kemampuan sebenar sekali gus menyebabkan mereka bakal berdepan tugas sukar pada perlawanan kedua nanti

“Saya cukup tidak berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan oleh pasukan saya. Mereka bermain jauh di luar kemampuan sebenar selaku juara bertahan dan juara Piala Agong.

“Kalau setakat 20 hingga 30 peratus saya boleh terima tetapi kali ini boleh dikatakan hampir 80 hingga 90 peratus. Saya tidak boleh terima kekurangan itu,” ujarnya.

Tambahnya, kekurangan rehat merupakan faktor utama penurunan mendadak prestasi pasukannya terutama setelah melalui perjalanan jauh untuk ke Kota Bharu.

“Mungkin pemain tidak cukup rehat selepas malalui perjalanan selama 10 jam untuk ke Kota Bharu semalam. Kurang minum air juga mungkin menjadi salah satu faktor tetapi alhamdulillah, semua pemain saya tidak mengalami kekejangan otot hari ini.

“Kita ada seminggu untuk buat persediaan dan bila balik ke Lembah Klang saya akan buat percaturan untuk bermain di Shah Alam nanti. Peluang kedua-dua pasukan masih terbuka dan siapa jaring lebih banyak gol akan melangkah ke separuh akhir,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN