Piala Emas Raja-raja: Kelantan tempah laluan sukar

Piala Emas Raja-raja: Kelantan tempah laluan sukar

AKSI suku akhir pertama Piala Emas Raja-raja menyaksikan Kelantan (hijau) dan Selangor terikat 0-0 pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan petang tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Skuad Piala Emas Raja-raja Kelantan menempah laluan sukar apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Selangor pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.

Turun dengan misi mencari bekalan selesa, tuan rumah lebih dahulu menguji kubu pelawat menerusi rembatan deras Wan Azran Afifi Wan Ibrahim pada minit kelima namun berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Selangor, Adika Arman Azmi.

Kelantan terus bernafsu merobek kubu pelawat menerusi dua lagi percubaan masing-masing melalui Muhammad Adam Basyir Yusli (minit ke-21) dan Ahmad Amjad Huzeny (minit ke-25) namun gagal menepati sasaran.

Aksi bertambah sengit selepas itu apabila pelawat bangkit mengimbangi permainan namun dihantui ketumpulan penyudah menyaksikan kedudukan 0-0 kekal hingga tamat perlawanan.

 

Bersambung babak kedua, Kelantan terus ghairah menggempur kubu lawan untuk mendapatkan jaringan namun ketumpulan penyudah terus membataskan hasrat tersebut.

Peluang terbaik Kelantan memecah kebuntuan jaringan hadir pada minit ke-50, namun Ahmad Amjad gagal memanfaatkan peluang terhidang itu.

Pelawat yang tertekan dengan asakan bertali-arus tuan rumah mengubah rentak permainan untuk memberi tekanan kepada Kelantan.

Perubahan itu memberikan impak buat pelawat apabila memperoleh peluang terbaik untuk memecah kebuntuan gol pada minit ke-77 namun dihampakan ketumpulan penyudah.

Keputusan 0-0 itu kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan Kelantan gagal membawa bekalan selesa pada aksi suku akhir kedua di Stadium UiTM Shah Alam pada 11 November nanti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN