Pesara kerajaan tidak mengaku salah subahat tuntutan palsu Penjana Kerjaya 2.0 - Utusan Malaysia

Pesara kerajaan tidak mengaku salah subahat tuntutan palsu Penjana Kerjaya 2.0

PESARA kerajaan (tengah) mengaku tidak bersalah atau tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu Penjana Kerjana 2.0 di Mahkamah Sesyen di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pesara kerajaan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu bagi menuntut insentif berjumlah RM9,537.78 sejak dua tahun lalu.

Dokumen tersebut bagi menuntut bayaran yuran insentif pengambilan pekerja di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Tertuduh, Rozina Abu Bakar, 62, membuat pengakuan terbabit di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan pengurus syarikat Teja Skill Solution didakwa bersubahat dengan seorang individu memberikan laporan kursus perniagaan melalui internet di bawah program Penjana Kerjaya 2.0 bagi menuntut insentif terbabit.

Dokumen terbabit didakwa diserahkan kepada ejen Perkeso dengan niat memperdayakan Perkeso.

Rozina didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut mengandungi butiran palsu tentang tiga individu berbeza dengan setiap satu tuntutan bernilai RM3,179.26 sedangkan kesemua mereka tidak pernah menghadiri kursus tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit di Jalan Bandar Putra 1A, Bandar Putra, di sini, pada 4 Oktober 2021 dan dua kesalahan pada 1 Disember 2021.

Tertuduh justeru itu dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ASPRM) 2009 dibaca bersama di bawah 28 (1) (c) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (c) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) ASPRM 2009 (Akta 694) di mana dia boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda.

Selain itu, Rozina turut diberikan tiga pertuduhan pilihan di bawah seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif mencadangkan kepada mahkamah agar tertuduh ditawarkan wang jaminan sebanyak RM15,000.

Tertuduh diwakili peguam, Fadzly Mohd Ramli, memohon agar wang jaminan dikurangkan kepada RM5,000 berikutan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menyara lima orang anak termasuk seorang anak kelainan upaya (OKU).

Hakim memutuskan tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bercagar selain tertuduh perlu melaporkan diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang bermula Disember serta perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga bicara selesai.

Mahkamah menetapkan 21 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya