Pengarah urusan didakwa buat tuntutan palsu RM152,200 - Utusan Malaysia

Pengarah urusan didakwa buat tuntutan palsu RM152,200

TERTUDUH (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas 14 pertuduhan membuat tuntutan palsu Penjana Kerjaya 2.0 bernilai RM152,200. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pengarah urusan sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 pertuduhan membuat tuntutan palsu Program Insentif Pengambilan Pekerja bernilai RM152,200.

Tertuduh, M. Sentil Kumar, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

Bagi prosiding pertama, tertuduh berdepan enam pertuduhan utama dan enam pilihan yang mana beliau selaku Pengarah Urusan Global Green Soil Plantation dituduh dengan niat memperdaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan memberi kepada ejen Perkeso dokumen iaitu borang pengesahan pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 berjumlah RM39,880.

Tertuduh didakwa menyerahkan dokumen mengandungi penyata palsu tentang butiran matan iaitu nama pekerja baharu sedangkan pekerja yang dimaksudkan dalam dokumen tersebut mengelirukan prinsipalnya.

Bagi prosiding kedua, sebanyak lapan pertuduhan utama dan lapan pilihan dibacakan yang mana menurut kertas pertuduhan, tertuduh selaku Pengarah Urusan Global Tech (S) Auto Supply didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan jumlah tuntutan insentif bernilai RM112,320.

Kesemua 14 pertuduhan terbabit didakwa dilakukan di Wisma Perkeso, Jalan Mat Kilau, di sini antara 27 Mei 2021 dan 24 Jun 2021.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rifah Izzati Abdul Mutalif memohon tertuduh dikenakan ikat jamin RM15,000 bagi kertas pertuduhan pertama dan RM40,000 bagi kertas pertuduhan kedua beserta syarat tambahan.

Peguam tertuduh, T. Vijaya Sandran merayu agar mahkamah mengurangkan wang jaminan berikutan tertuduh sebelum ini sudah dikenakan tuduhan dengan jaminan RM30,000 bagi kesalahan sama pada sekitar sebulan yang lalu.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kertas pertuduhan pertama dan RM40,000 bagi kertas pertuduhan kedua dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diarahkan melaporkan diri di Pejabat SPRM Temerloh setiap bulan bermula November selain tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Mahkamah menetapkan 22 Disember sebagai tarikh serahan dokumen dan pengurusan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya