PARLIMEN: Kalau istilah 'maha' tidak boleh pakai, maha-thir bagaimana? - seloroh Anwar - Utusan Malaysia

PARLIMEN: Kalau istilah ‘maha’ tidak boleh pakai, maha-thir bagaimana? – seloroh Anwar

ANWAR Ibrahim semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini. -GAMBAR /ABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Dewan Rakyat berakhir dengan gelak ketawa apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan ‘kelas’ pembelajaran tatabahasa Melayu, bermula dengan istilah ‘maha’ sehingga menyebut perkataan ‘maha-thir’.

Beliau ketika itu menyentuh istilah ‘mahakaya’ namun mendapat kritikan dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang.

Ini kerana, kata mereka, perkataan ‘maha’ adalah penggunaan khusus yang merujuk kepada Tuhan dan institusi diraja sahaja.

Bagaimanapun, Anwar berkata, isu tersebut tidak sepatutnya timbul kerana terdapat beberapa perkataan lain berawal dengan ‘maha’ dan tidak memberi sebarang kesan.

“Ini soal tatabahasa sedikit. Mahasiswa? Boleh pula? Ada lagi istilah…maha-thir?

“Sebab (pembangkang) kata tidak boleh, ini hukum, hanya kepada Allah SWT, maha suci, atau paling tidak pun maha mulia hanya kepada sultan, tidak boleh.

“Ini mahasiswa boleh, mahaguru boleh, mahawangsa boleh. Ini kena belajar bahasa sedikit,” selorohnya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Kenyataan selambanya itu membuatkan seluruh ahli Dewan ketawa.

Meskipun tidak merujuk secara khusus nama seseorang individu, bagaimanapun, perkataan itu dikaitkan dengan seorang negarawan juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian menjawab pertikaian dibangkitkan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mempertikai penggunaan ‘mahakaya’.

Anwar terdahulu menjelaskan, beliau bukan menentang golongan mahakaya, bagaimanapun, kumpulan itu tidak seharusnya menerima subsidi seperti golongan pendapatan lain.

“Mahakaya kerana kategori ini tidak boleh dapat sedekah dan subsidi. Itu sahaja, bukan sebab kita marah sebab dia kaya.

“Kita kata program subsidi diesel, minyak masak, dan ayam yang dapat manfaat pun golongan kaya. Jadi kita mahu elak daripada berlaku,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN