Padang SNBJ rosak selepas konsert Coldplay, aksi final Piala Malaysia terjejas? - Utusan Malaysia

Padang SNBJ rosak selepas konsert Coldplay, aksi final Piala Malaysia terjejas?

GAMBAR kerosakan padang SNBJ mencetuskan kebimbangan peminat bola sepak yang mampu menjejaskan perlawanan final Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC pada 8 Disember depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) didakwa mengalami kerosakan selepas digunakan sebagai lokasi konsert Coldplay, malam kelmarin.

Gambar yang menunjukkan kerosakan itu dimuat naik oleh pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam laman Instagram miliknya, hari ini.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), beberapa bahagian padang berkenaan rosak, dipercayai berlaku selepas konsert Coldplay.

Walau bagaimanapun, beliau yang menaja rumput baharu jenis Zeon Zoysia di gelanggang keramat Harimau Malaya itu hanya berkongsi gambar tanpa sebarang ulasan atau kapsyen.

Situasi itu pasti amat mendukacitakan terutamanya selepas padang berkenaan mendapat pujian daripada penyokong bola sepak tanah air ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Kyrgyzstan, 16 November lalu.

Keadaan terkini padang berkenaan juga mencetuskan persoalan mengenai kesediaan gelanggang tersebut bagi penganjuran final Piala Malaysia yang dijadual berlangsung pada 8 Disember ini.

Padang Stadium Nasional sebelum ini pernah dikritik hebat selepas baru dinaik taraf rosak teruk ketika digunakan pada Pestabola Merdeka 2023, bulan lalu.

Konsert Coldplay yang julung kali diadakan di negara ini mendapat sambutan hangat daripada peminat, iaitu kira-kira 75,000 orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN