Orang ramai diminta elak 186 lokasi berisiko berlaku kepala air - Utusan Malaysia

Orang ramai diminta elak 186 lokasi berisiko berlaku kepala air

Orang ramai dinasihat tidak berkunjung ke sungai atau air terjun ketika musim monsun timur laut. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengingatkan orang ramai menghindari 186 lokasi panas kawasan air terjun dan sungai di seluruh negara kerana berisiko berlaku kepala air sepanjang tempoh musim monsun timur laut (MTL) ketika ini.

Lokasi itu melibatkan 52 tempat di Sabah, Kedah (24); Sarawak (19), Kelantan dan Terengganu masing-masing 18 lokasi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, 17 lokasi untuk dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Perak; Perlis dan Johor (5), Selangor (6) dan Kuala Lumpur serta Melaka, masing-masing satu.

Menurut beliau, lokasi-lokasi itu dikenal pasti berdasarkan kajian dan pemantauan sejak tiga tahun lepas yang dikesan kerap berlaku kepala air.

Kata Nor Hisham, pihak JBPM turut bekerjasama dengan pelbagai agensi melalui Majlis Ke­selamatan Aktiviti di Air (MKAA) untuk menangani kes-kes lemas ekoran jumlah kematian dica­tatkan tinggi berbanding insiden kebakaran.

“Mengikut statistik JBPM, secara puratanya sebanyak 302 kematian akibat lemas dilaporkan setiap tahun, dari 2019 hingga 2022.

“Susulan itu, kita menasihatkan orang ramai untuk menjauhi kawasan sungai dan pusat rekreasi terutamanya ketika musim tengkujuh ini.

“Kita juga bekerjasama de­ngan kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Malaysia bagi mengawal semua aktiviti rekreasi untuk mengelak sebarang kemungkinan malapetaka membabitkan nyawa. Bagaimanapun tindakan menutup bergantung kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Nor Hisham, pihak JBPM bersiap-siaga bagi meng­hadapi bencana banjir dan kepala air apabila seramai 24,283 pegawai dan anggota termasuk bomba sukarela serta bantuan akan bertugas selain pembekuan cuti kira-kira 80 peratus daripada 13,435 pegawai bomba.

Kata beliau, sebanyak 33 Pasukan Gerak Cepat (MTL Red Team) yang dianggotai empat pegawai dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Emergency Medical and Rescue Services (EMRS) ditempatkan di 13 buah negeri dan tiga Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia.

FUNGSI

“Sebanyak 1,150 buah kende­raan logistik darat dan air pelbagai fungsi termasuk kenderaan angkut ringan, kenderaan angkut berat dan kenderaan marin juga berada dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk dige­rakkan ke lokasi kecemasan dan bencana.

“Malah, aset udara bomba iaitu helikopter dan dron JBPM juga bila-bila masa sahaja bersedia untuk digerakkan sekiranya diperlukan,” katanya.

Sebagai persediaan menghadapi banjir, Nor Hisham ingin mengingatkan kepada penduduk di kawasan luar jangkaan banjir untuk tidak mengambil risiko bagi meredah air.

“Contohnya di Selancar dan Muar tahun lalu. Jika berlaku sebegitu, penduduk dinasihatkan untuk tidak melakukan pergerakan sendiri tanpa pasukan penyelamat.

“Ini kerana mereka tidak tahu situasi kedalaman air dan sebagainya selain bagi mengelakkan berlakunya kes hanyut dan lemas.

“Selain itu, penduduk diminta untuk melakukan persiapan awal dan tidak melengah-lengahkan untuk keluar dari rumah sekiranya dinaiki air. Ini kerana ada antara mereka tidak mahu keluar awal ketika bomba tiba. Apabila air sampai paras dada baru kelam-kabut panggil pasukan penyelamat,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN