Negeri Sembilan tubuh Tabung Kelestarian Alam Sekitar - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan tubuh Tabung Kelestarian Alam Sekitar

AMINUDDIN Harun (enam dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan yang dianjurkan sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan menubuhkan Tabung Kelestarian Alam Sekitar tahun depan bertujuan mengukuhkan usaha menjaga dan memulihara alam sekitar secara lebih meluas.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semua industri di negeri ini wajib menyumbang kepada tabung berkenaan dan sumbangan itu bergantung kepada sejauh mana peranan mereka di negeri ini.

Katanya, dana tabung itu akan digunakan untuk pendidikan dan kerja-kerja yang mampu meningkatkan kelestarian alam sekitar di negeri ini.

“Kerajaan negeri mahu setiap industri sama ada besar atau kecil mempunyai peranan dan memikul tanggung jawab menjaga dan memulihara alam sekitar.

“Usaha ini mesti dilakukan sepanjang tahun dan bukan terhad kepada sambutan hari alam sekitar semata-mata,” katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2023 peringkat negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim; Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dan Pengarah JAS negeri, Hamzah Mohamad.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri berharap masyarakat secara umum akan meraih manfaat yang baik daripada penubuhan tabung itu.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata, setiap individu mempunyai tanggungjawab dan memainkan peranan membendung pencemaran serta menangani masalah alam sekitar pada hari ini.

Jelasnya, persekitaran yang bersih dan sihat tidak boleh diketepikan mahu pun dikompromi dalam mengejar kemajuan dan pembangunan. 

“Apalah gunanya kita maju tetapi persekitaran kita kotor dan tidak selamat didiami. Kita boleh mulakan dengan tindakan di peringkat individu dan dari rumah masing-masing seperti mengamalkan pengasingan sisa, mengurangkan pembaziran sumber air dan elektrik dan menggunakan produk-produk yang mesra alam,” ujarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya