N. Sembilan optimis catat pelaburan baharu RM7b tahun ini - Utusan Malaysia

N. Sembilan optimis catat pelaburan baharu RM7b tahun ini

AMINUDDIN Harun pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan optimis mampu mencatatkan pelaburan baharu yang dianggarkan berjumlah RM7 bilion pada tahun ini melihat kepada momentum perolehan pelaburan baharu yang diterima.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, berdasarkan prestasi pelaburan suku kedua tahun ini sahaja ia kekal positif iaitu sebanyak RM1.95 bilion dicatatkan.

Jelas beliau, ia sekali gus menunjukkan peningkatan kenaikan sebanyak 24 peratus berbanding dengan pencapaian pada suku kedua tahun 2022 iaitu RM1.48 bilion. 

Beliau berkata, daripada jumlah prestasi pelaburan suku kedua tahun 2023 yang telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Negeri Sembilan, juga menunjukkan sebanyak RM0.38 bilion adalah daripada pelaburan asing manakala RM1.57 bilion adalah pelaburan tempatan.

“Negeri Sembilan juga mengunjurkan tambahan rekod pelaburan sebanyak RM5 bilion lagi bagi tahun 2023.  Ini bakal mencatatkan rekod pelaburan Negeri Sembilan pada tahun ini dianggarkan berjumlah RM7 bilion,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Aminuddin berkata, sasaran tersebut penting kerana secara tidak langsung dapat meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan syarikat pelabur juga yakin dengan apa yang ada di Negeri Sembilan.

“Negeri Sembilan juga mencatatkan negeri yang paling kurang kadar pengangguran, ia memberi manfaat yang sangat baik. Jadi dalam tempoh beberapa tahun lagi, ramai antara mereka yang bekerja diluar akan balik semula bekerja di sini, melihat kepada tawaran pekerjaan yang banyak daripada syarikat-syarikat yang membuat pelaburan di negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pembangunan yang sedang rancak dijalankan, Aminuddin berkata, selaras dengan agenda pembangunan Negeri Sembilan, pembangunan fasa pertama pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0 menumpukan kepada pembangunan taman industri di Parcel A, Nilai dengan kerja-kerja tanah dan infrastruktur asas sedang giat dijalankan.

“Pembangunan Bandar Hamilton yang telah diaktifkan pada tahun 2021 dijangka siap dibangunkan pada tahun 2027 dengan jangkaan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) melebihi RM900 juta.

“Selain itu, pembangunan MVV Industrial Park di Parcel B, Labu seluas 760 ekar berhampiran Techpark @ Enstek juga dalam peringkat pertimbangan kelulusan Kebenaran Merancang yang mana sekiranya direalisasikan dapat mencapai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sehingga RM2.8 bilion,” jelasnya lagi.

Pada masa yang sama, katanya, susulan daripada kejayaan XME Business Park di Nilai Impian, pihak pemaju akan meluaskan kawasan perindustrian berkenaan dengan pembangunan XME 2, 3 dan 4 melibatkan keluasan 132 ekar dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) menjangkau RM950 juta.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya