Muhyiddin kekal, penting pastikan parti tak kehilangan pemimpin berwibawa - Solihan - Utusan Malaysia

Muhyiddin kekal, penting pastikan parti tak kehilangan pemimpin berwibawa – Solihan

Mohd. Solihan Badri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor lega Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju menarik balik keputusan tidak mempertahankan kerusi Presiden pada pemilihan parti itu penghujung 2024.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, keberadaan Ahli Parlimen Pagoh itu kekal di kerusi Presiden penting bagi memastikan parti itu tidak kehilangan pemimpin berwibawa dan berintegriti serta menjadikan parti itu terus menjadi pilihan orang Melayu untuk menjamin, mempertahan dan memperjuangkan kepentingan mereka.

“Keputusan Tan Sri Muhyiddin mengekalkan status quo juga bermakna beliau masih menjadi alternatif kepada pemimpin kerajaan sekarang yang gagal merealisasikan janji mahupun manifesto walaupun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) genap setahun pada 19 November lalu.

“Ini bukan bererti parti ketandusan pemimpin tetapi keterlibatan dan input beliau masih diperlukan bagi melaksanakan beberapa proses penambahbaikan serta pemerkasaan parti.

“Keberadaan Tan Sri di kerusi Presiden turut menjamin bukan sahaja persiapan dan kekukuhan Bersatu menuju PRU16, malah memastikan keutuhan kerjasama Bersatu, Pas dan Gerakan yang membentuk gagasan Perikatan Nasional (PN) dapat dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Solihan berkata, Bersatu Johor berpandangan bahawa Muhyiddin cukup sinonim dengan Bersatu dan PN serta  tanpa beliau kedua-dua entiti politik ini boleh terjejas bahkan menghampakan harapan sebahagian besar rakyat terhadap sebuah parti utama Melayu yang mendokong kepemimpinan Islam di negara ini.

“Pada kami, beliau juga adalah negarawan yang diperlukan oleh rakyat yang memahami pentingnya nilai murni mesti ada pada seorang pemimpin. 

“Justeru, Bersatu Johor yakin pengorbanan Tan Sri Muhyiddin akan dibalas dengan kesetiaan, komitmen serta perpaduan kalangan ahli mahu pun pemimpin demi memastikan kekukuhan parti untuk melalui landskap baharu politik negara yang lebih mencabar sekarang,” katanya.

Katanya, wakil rakyat Bersatu sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pula harus menjadikan pengorbanan Muhyiddin sebagai penguat semangat perjuangan dan kesetiaan kepada parti.

“Kami turut ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan keluarga kerana dapat menasihati serta berbincang dengan Tan Sri Muhyiddin supaya menarik balik keputusan tidak mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan parti pada 2024,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN