REMBAU: Malaysia dan Vietnam akan mengadakan perbincangan mengenai isu perairan dan juga jaminan keselamatan makanan di antara kedua buah negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu merupakan intipati utama lawatan beliau ke negara tersebut yang bermula Ahad ini.
Menurut Mohamad, satu memorandum persefahaman (MoU) berkaitan keselamatan pertahanan juga akan dimeterai hasil dari pertemuan lanjut dengan rakan sejawat beliau di sana
“Saya juga akan berjumpa Perdana Menteri Vietnam berbincang dagangan dua hala, jaminan makanan kerana kita membeli banyak bekalan beras dari negara Vietnam.
“Sebelum ini negara India buat keputusan tidak jual beras ke negara luar, kelam kabut kita beli beras import dengan harga melambung tinggi. Ini yang mahu kita bincangkan nanti,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena selepas merasmikan Juala Agro Madani dan Hari Bertemu Pelanggan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rembau di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Mohamad berkata, isu keselamatan sempadan nelayan dan pencerobohan penangkapan ikan di Laut China Selatan juga antara perkara yang akan dibincangkan.
“Berunding lebih mudah daripada kita bertembung, defence diplomacy akan diamalkan supaya kita di rantau Asia Tenggara ini akan terus mengamalkan dasar terbuka, Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad menggalakkan ahli PPK khususnya di daerah Rembau untuk lebih giat mengusahakan tanah terbiar terdiri daripada tanah adat serta pusaka dengan aktiviti pertanian.
Menurut beliau, pemilik serta waris tanah adat atau pusaka yang masih terbiar juga boleh menyumbang aset tersebut kepada pihak masjid atau Baitulmal supaya golongan memerlukan dapat dibantu.-UTUSAN.