ISKANDAR PUTERI: Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan kesukaran menewaskan Kuching City FC 2-0 pada aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, Esteban Solari merehatkan beberapa pemain yang dipanggil menyertai kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 ketika menentang Taiwan.
Biarpun menguasai permainan, skuad Harimau Selatan dilihat kurang agresif melancarkan serangan dan tidak berjaya mengancam kubu The Cats yang banyak berkampung di kawasan sendiri.
Daryl Sham George yang pertama kali diturunkan dalam kesebelasan utama dilihat sukar mengisi tempat Arif Aiman Hanapi setelah tidak berjaya mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak tampak berjaya membentuk benteng ampuh merantai jentera serangan JDT setelah tidak ada percubaan berbahaya berjaya dihasilkan.
Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva masing-masing membuat percubaan ke arah pintu gol lawan namun rembatan yang dilakukan tidak berjaya menghasilkan gol.

Bergson turut melakukan umpanan cantik kepada Daryl Sham namun pemain muda itu memilih untuk melakukan hantaran kepada Forestieri, hantaran itu bagaimanapun terlalu kuat dan peluang keemasan itu dibazirkan begitu sahaja.
Ketika pemain tuan rumah dilihat buntu untuk menghasilkan gol, Bergson bijak mencari ruang untuk melepaskan rembatan deras dari jarak 25 meter menewaskan penjaga gol Wan Muhammad Azraie Wan Teh.
Juan Muniz berpeluang untuk menambah jaringan buat JDT, namun rembatan yang dilakukan dalam kotak penalti dihadang oleh pemain pertahanan, Aylton Ferreira Ananias memastikan gawang tidak dibolosi.
Ketika permainan babak pertama hampir tamat, juara Liga Super itu dihadiahkan sepakan percuma selepas Bergson diterjah oleh Joseph Kalang Tie dari belakang.
Peluang keemasan itu tidak disia-siakan oleh pakar sepakan percuma JDT, Muniz yang melakukan rembatan lencong melepasi benteng dan menewaskan Wan Muhammad Azraie buat kali kedua pada minit ke-42.
Bersambung babak kedua, JDT tidak mengendurkan asakan dan terus melancarkan serangan bagi menambah jaringan di SSI.
Daryl Sham hampir memahatkan nama dalam senarai penjaring namun rembatan dari jarak dekat yang dilakukan sekadar menggegar palang gol pasukan lawan pada minit ke-53.
Pada minit ke-56, Bergson mensia-siakan hantaran Takahiro Kunimoto dari sayap kanan setelah sepakan deras yang dilakukan jauh tersasar dari pintu gol lawan.

JDT menambah bisa serangan dengan membawa masuk Heberty Fernandes dan pemain kelahiran Brazil itu hampir mencipta jaringan pada minit ke-79 namun percubaan itu berjaya dinafikan Wan Muhammad Azraie.
Kuching City yang berada di kedudukan kedua tercorot liga itu turut melancarkan serangan ke arah kubu lawan, malangnya tidak ada satu pun serangan yang dilancarkan berjaya mengancam penjaga gawang, Farizal Marlias.
Kedua-dua pasukan silih berganti melancarkan serangan ke kubu lawan dan tidak ada jaringan gol berjaya dihasilkan pada babak kedua perlawanan.
JDT akan bermain lagi dua perlawanan liga sebelum dinobatkan sebagai juara Liga Super pada perlawanan terakhir menentang Pulau Pinang FC, 17 Disember depan. – UTUSAN